Selasa, 9 Mac 2010

KDN haram 17 buku pelbagai bahasa

BERNAMA



Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengenakan Perintah Larangan terhadap 17 buah penerbitan pelbagai bahasa kerana mengandungi penulisan yang tidak bermoral dan tidak sesuai untuk bacaan umum.

Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Abdul Razak Abdul Latif berkata sekiranya penerbitan itu dibiarkan, ia boleh memudaratkan moral masyarakat.

"Daripada keseluruhan jumlah penerbitan yang dilarang, 13 merupakan penerbitan bahasa Melayu, tiga bahasa Tamil dan satu penerbitan berbahasa Cina," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penerbitan berbahasa Melayu termasuk 'SENSASI #3', 'SENSASI-majalah lelaki millennium', 'Antara Dosa dan Kasih', 'Dendam Nafsu Jalinan Nafsu Edisi 2', 'Jendela Hati Kompilasi Empat Cerita Terbaik', 'Kama Asmara Edisi 2', 'Gelora Nafsu#7', 'Gelora Nafsu #6'.

'Gelora Nafsu 3 Kompilasi lima cerita terbaik', 'Tips-Tips Bahagia Bersama Pasangan', 'Gelora Nafsu 2 Kompilasi enam cerita terbaik', 'Sensasi Edisi ke-2' dan 'Kamasutra Jawa dan Kuantum Cinta'.

Tiga penerbitan berbahasa Tamil ialah 'Aan-Penn Eruttarai Valkhai', 'Aanmai Kuraivum-Penmai Kuraivum' dan 'Sex Exercise', manakala Hard Magazine merupakan penerbitan berbahasa Cina yang turut dilarang penerbitannya.

Abdul Razak berkata pewartaan Perintah Larangan ini adalah menurut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 dan menjadi satu kesalahan mengikut Subseksyen 2 Seksyen 8 akta itu sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan larangan yang dilarang.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, katanya.


Tiada ulasan: