Ahad, 14 Mac 2010

Kawalan Kemasukan Warga Asing Melalui Udara Diperketat

BERNAMA

KOTA BAHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meningkatkan kawalan kemasukan pendatang asing ke negara ini melalui lapangan terbang bagi mengatasi masalah pengedaran dadah di negara ini. Timbalan Menterinya, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, ini berikutan peningkatan bilangan pelancong asing, khasnya dari Iran yang agak ketara disyaki terbabit dalam pengedaran dadah antarabangsa dalam tiga bulan pertama tahun ini.

Menurutnya, dari 1 Januari hingga 11 Mac lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM)berjaya menangkap 57 warga Iran yang terbabit dalam penagihan dadah di Malaysia.

Beliau berkata, ini berikutan operasi yang dijalankan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan merampas pelbagai jenis dadah, termasuk 77.28 kilogram syabu, 6.7 kilogram cecair syabu dan empat kilogram heroin.

"Bagi menangani kegiatan penyalahgunaan dadah membabitkan warga negara asing itu, kerajaan melalui PDRM, Unit Antidadah Sempadan (UAS) Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan terus mengambil langkah-langkah lebih tegas untuk membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan meningkatkan kawalan di semua pintu masuk KLIA, Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) dan pintu-pintu masuk sempadan yang lain," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Kelantan di Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Prof Dr Mahmud Nazar Mohamed dan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amer Hamzah Ibrahim.

Menurut Abu Seman lagi, berdasarkan statistik PDRM dalam tempoh tiga tahun (2007-2009) terdapat 969 kes tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 melibatkan warga negara asing.

"Ia turut melibatkan 19 pelajar warga negara asing yang ditahan sepanjang 2008 berbanding 40 orang pada tahun lepas. Ini menunjukkan peningkatan 21 orang atau 68 peratus," katanya.

Beliau berkata, warga Nigeria merupakan bilangan paling tinggi yang ditahan iaitu enam orang pada 2008 dan 18 tahun lepas, serta diikuti lapan orang warga Arab Saudi dan lapan pelajar dari Sudan dalam tempoh dua tahun itu. Mengenai kes penyalahgunaan dadah di Kelantan, Abu Seman berkata, jajahan Kota Baharu mercatatkan jajahan paling tinggi membabitkan 70 kes, diikuti Machang (42 kes); Pasir Mas (37 kes) dan Tumpat (35 kes).

"Kawasan-kawasan tanah rancangan seperti Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli juga tidak terkecuali daripada aktiviti penyalahgunaan dadah membabitkan 91 kes pada 2007, 44 pada 2008 dan 52 kes tahun lepas.

Tiada ulasan: