Isnin, 8 Mac 2010

Kami tak puas hati – Sankara Nair

Dzulfikar Mashoor


HULU KLANG: “Kami tak puas hati, tetapi keputusan Mahkamah (Persekutuan) adalah muktamad,” jelas Sankara Nair, peguambela bagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Menurut beliau, sekiranya pasukan peguambela tidak membuat semakan kehakiman segera, mungkin sehingga hari ini semua pihak tidak mengetahui tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998 lalu.

Ditanya tentang keputusan segera mahkamah yang tidak menyebelahi Anwar pula, beliau secara peribadi menegaskan bahawa keputusan mahkamah itu tidak boleh dikaitkan dengan kes liwat yang membabitkan anak guamannya, Anwar sekarang.

“Mungkin kalau dibandingkan itu, sukar kerana kes ini difailkan 12 tahun yang lalu, ia tidak ada kena-mengena hari ini,” jelasnya.

Pun begitu, beliau mempersoal usaha pendakwaraya membuat beberapa rayuan sebelum ini supaya kes tersebut digugurkan 11 tahun yang lalu.

“Kalau kami tak failkan apa-apa perakuan segera untuk mendapatkan tarikh segera seperti sebelum ini, kes kita ini mungkin ditangguhkan lebih lama, ada rayuan untuk membuang kes ini,” jelasnya.

Beliau turut mempertikai keputusan mahkamah memberikan masa yang begitu singkat kepada pasukan peguambela Anwar untuk membuat persiapan penghujahan yang rapi.

Persiapan yang dimaksudkan, menurut beliau, termasuk usaha mengetepikan hakim tertentu daripada mendengar perbicaraan kes pemecatan tersebut, kerana dilihat tidak adil sejak kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Sehubungan itu, beliau turut mempersoal tindakan Mahkamah Persekutuan yang dilihat sengaja mempercepatkan membuat keputusan ke atas kes pemecatan Anwar pada hari ini.

“Kalau untuk kepentingan mereka, maka tarikh tersebut dipercepatkan, kenapa begitu,” soal beliau.

Ditanya adakah keputusan tersebut menunjukkan bahawa Mahkamah Persekutuan dilihat tidak adil dan bebas, beliau berkata, beberapa rayuan sebelum ini dilihat seolah-olah seperti cuba diketepikan oleh mahkamah sendiri.

Pagi tadi, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff bersama-sama dua panel hakim, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdul Hamid Embong sebulat suara menganggap Dr. Mahathir bertindak mengikut perlembagaan dan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi pernah menolak kes pemecatan Anwar pada 24 Disember 1998.

Mahkamah Rayuan turut turut direkodkan pernah membuat pengabsahan bahawa pemecatan Anwar adalah sah pada 25 April 2007, sehingga membawa pada semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan.

Yang menjadi pertikaian bagi pasukan peguambela Anwar sehingga kini adalah berkenaan kaedah pemecatan Anwar berdasarkan sepucuk surat pecat bertarikh 2 September 1998 daripada Dr. Mahathir kepada anak guaman mereka, Anwar.

Tiada ulasan: