Selasa, 16 Mac 2010

“Kalau Pas hancur, imej Islam hancur” - Abdul Rahman Talib

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR: "Saya jelaskan bahawa hal ini perlu diambil tindakan, ini kerana kalau kita tidak bendung 'trend' ini, kesannya akan menjadi lebih buruk kepada Pas dan kepada Pakatan Rakyat," kata penulis blog Abdul Rahman Talib.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tulang Besi berkata demikian menerusi suatu sidang media selepas membuat penjelasan terhadap beberapa laporannya di bangunan pejabat agung Pas Jalan Raja Laut, kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Abdul Rahman Talib mula dikenali ekoran beberapa siri pendedahan beliau berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan antara Umno - Pas sebelum ini.

"Yang pentingnya, (tujuan membuat laporan ini) ialah janganlah Pas dilihat sebagai parti yang tidak boleh dipercayai. Itu yang paling penting.

"Ini kerana, jika Pas telah dilihat sebagai parti yang tidak menepati janji, imej Pas hancur dan imej Islam pun hancur," tambah beliau lagi.

Abdul Rahman Talib sebelum ini dipanggil untuk memberikan penjelasan berhubung aduan salah laku terhadap tiga pemimpin kanan parti itu yang dilaporkannya sebelum ini.

Beliau sebelum ini membuat laporan laporan salah laku itu terhadap Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa dan Pesuruhjaya Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

"Tadi, saya bincangkan keempat-empat aduan dan kes manakala Cikgu Pa (Datuk Mustapha Ali) bertanya kenapa saya membuat aduan dan saya memberi maklum balas kenapa saya membuat aduan tersebut," kata Abdul Rahman.

Tiada ulasan: