Ahad, 14 Mac 2010

Jumlah Baju Merah semakin meningkat



PEMANDANGAN udara menunjukkan Baju Merah memenuhi jalan raya Bangkok semalam apabila semakin ramai penunjuk perasaan berkumpul menjelang protes besar-besaran esok. - REUTERS

LAPORAN - AFP

BANGKOK - Berpuluh- puluh ribu penyokong bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra berduyun-duyun melepasi sekatan tentera di luar ibu negara hari ini dalam perjalanan menuju ke satu perhimpunan raksasa yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan.

Pihak berkuasa Thai mengerahkan 50,000 anggota pasukan keselamatan termasuk askar untuk menjalankan rondaan dan memeriksa penunjuk perasaan yang memasuki ibu negara, kerana bimbang sebilangannya mungkin mahu mencetuskan kekacauan sebelum perhimpunan utama esok.

Seramai 20,000 penunjuk perasaan yang memakai baju merah melepasi sekatan paling sibuk di Ayutthaya, 80 kilometer ke utara Bangkok pada pagi ini, kata gabenor wilayah.

Gabenor Withaya Pewpong berkata, seramai 15,000 lagi aktivis Baju Merah yang mengibarkan bendera merah dan menaiki kereta serta trak pikap dijangka memasuki ibu negara mengikut pos pemeriksaan utara yang dikawal oleh 700 anggota polis dan askar yang tidak bersenjata.

"Penunjuk perasaan memberi kerjasama kepada pegawai keselamatan yang mencari senjata dan bahan letupan selain memeriksa kad pengenalan," kata Withaya.

Penganjur mendakwa protes akan diadakan secara aman tetapi kerajaan bertindak untuk menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi memantau rapat umum itu, membolehkan pihak berkuasa mendirikan sekatan jalan raya, mengenakan perintah berkurung dan menyekat pergerakan.

Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva yang enggan tunduk kepada tuntutan penunjuk perasaan supaya beliau meletakkan jawatan dan mengadakan pilihan raya, bercakap dengan wartawan selepas bermesyuarat dengan para menteri dan pegawai kanan tentera hari ini.

"Kita tidak boleh lalai kerana sesetengah kumpulan yang masih mahu mencetuskan keganasan dan konfrontasi," kata Abhisit yang membatalkan lawatannya ke Australia esok disebabkan perhimpunan itu.

Kira-kira 6,500 penunjuk perasaan menyertai demonstrasi di beberapa lokasi di Bangkok semalam yang berlalu tanpa sebarang kejadian tidak diingini, kata polis.

Kerajaan menganggarkan bilangan penunjuk perasaan yang dijangka hadir esok berjumlah 70,000 orang tetapi aktivis Baju Merah mendakwa hampir 600,000 orang akan berhimpun.

Sejumlah 35 negara sudah mengeluarkan amaran perjalanan bagi Thailand disebabkan protes itu, menurut lembaga pelancongan negara ini.

Tiada ulasan: