Jumaat, 12 Mac 2010

Janda Baik diceroboh

Oleh Mohd Rafi Mamat


BENTONG: Pembukaan tanah secara haram untuk aktiviti pertanian di Kampung Janda Baik, di sini kini semakin serius sehingga menimbulkan rasa tidak senang di kalangan penduduk.

Penduduk mendakwa sejak lebih 30 tahun lalu, aktiviti haram itu semakin berleluasa dan tidak mampu dikawal pihak berkuasa sehingga menyebabkan berlaku pencemaran sungai, perubahan iklim dan ekosistem. Bertindak daripada masalah berkenaan, 40 kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong dengan bantuan Unit Penguat Kuasa Jabatan Perhutanan Pahang Barat melakukan operasi bersih selama dua hari di Kampung Chemproh yang terletak dalam Hutan Simpan Lentang, di sini, kelmarin.

Operasi diketuai pegawainya, Badrol Hisham Abd Rahman yang turut sama berjaya memusnahkan ladang halia dan sayuran seluas kira-kira 20.23 hektar termasuk merobohkan 27 pondok yang terletak dalam hutan simpan berkenaan.

Badrol berkata, operasi itu adalah yang kedua dilakukan membabitkan kakitangan Pejabat Hutan Daerah dan unit penguat kuasa selepas operasi yang sama dua tahun lalu.

"Jabatan memandang serius aktiviti pencerobohan hutan simpan di daerah ini terutama di Kampung Janda Baik dan sekitarnya yang menjadi kawasan tadahan air.
"Hutan Simpan Lentang mempunyai keluasan 36,000 hektar dengan ketinggian lebih 1,000 meter daripada paras laut kini menjadi lokasi utama aktiviti menanam halia, sayuran dan pisang.

"Kita akan terus melakukan pemantauan seterusnya operasi bersih bagi memastikan aktiviti menceroboh hutan simpan Lentang di kampung Janda Baik tidak berleluasa.

"Aktiviti pertanian yang tidak terkawal boleh mengakibatkan berlaku pencemaran air di tiga sungai utama iaitu Sungai Chemproh, Sungai Benus dan Lurah," katanya kepada Berita Harian.

Pada operasi berkenaan, dua pekerja ladang halia ditahan kerana kesalahan memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit.

Penguat kuasa turut memusnahkan sistem paip air yang digunakan untuk menyiram tanaman.

Badrol berkata, pembukaan hutan simpan secara berleluasa juga merosakkan ekosistem dan memberi kesan kepada iklim di kampung Janda Baik yang terkenal sebagai lokasi pelancongan tanah tinggi di negara ini.

Katanya, hasil siasatan yang dilakukan mendapati pemilik ladang menggunakan khidmat pekerja asing dari Indonesia, Nepal dan Bangladesh untuk mengusahakan tanaman mereka.

Difahamkan, kini ada lebih 100 pekerja asing berada dalam kawasan hutan simpan Lentang dan mereka akan bersembunyi setiap kali operasi dilakukan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, kawasan yang diusahakan tanaman halia akan ditinggalkan selepas pengusahanya memungut hasil, sekali gus mendedahkan tanah kepada ancaman hakisan.

Badrol berkata, selain Hutan Simpan Lentang, jabatan akan terus memantau Hutan Simpan Bukit Tinggi yang turut menjadi tumpuan aktiviti pencerobohan oleh petani halia dan sayuran.

"Kita akan terus bekerjasama dengan beberapa agensi penguat kuasa bagi memantau seterusnya melakukan operasi membendung pencerobohan hutan simpan di daerah ini," katanya.

Tiada ulasan: