Jumaat, 5 Mac 2010

Jakim lulus skrip teater Antara...

BERITA HARIAN ONLINE



SEBAHAGIAN daripada pementasan teater muzikal Antara... arahan Erma Fatima.

BANGI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menyemak skrip teater muzikal Antara... arahan Erma Fatima dan mendapati ia tidak bertentangan dengan garis panduan ditetapkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata selain menyemak skrip dan membuat teguran terhadap skrip berkenaan, pementasan teater berkenaan juga turut dipantau Jakim.

“Panel Jakim sudah menyemak skrip teater berkenaan dan teguran juga sudah dibuat serta meminta pengarah mengubah skripnya mengikut garis panduan yang ditetapkan Jakim.

“Malah garis panduan yang diguna pakai Jakim adalah mengikut ketetapan Muzakarah Fatwa Malaysia. Kita ambil pendekatan membantu, bukannya menyekat kecuali jika ia tidak diperbaiki.

“Dalam kes Antara... ini kita terbabit sehingga sampai ke pementasan, Jakim menghantar wakil yang juga Ahli Panel Akidah. Mereka melihat raptai dan memberi pandangan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Antara... yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) mencetuskan kontroversi apabila ada babak dalam teater terbabit dianggap meragukan dan menimbulkan perdebatan.

Salah satu babak yang dikritik dan mencetuskan tanda soal di kalangan sebilangan penonton adalah gambaran `syurga' yang menyaksikan `Nabi Adam A.S' dan isterinya `Hawa' dilakonkan secara fizikal atau figura oleh pelakon Fahrin Ahmad serta Nasha Aziz.

Mengulas mengenai perkara itu, Wan Mohamad berkata beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara yang menyalahi garis panduan ditetapkan dilakukan sewaktu pementasan itu dan enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Sehingga kini apa yang kita tahu ia tidak bercanggah dengan garis panduan ditetapkan. Mengenai perkara itu (kontroversi) kita perlu menelitinya,” katanya.


Tiada ulasan: