Khamis, 4 Mac 2010

Jabatan Penerangan sediakan jalur lebar

BERNAMA


PUTRAJAYA - Semua premis Jabatan Penerangan akan dilengkapi kemudahan komputer dan jalur lebar tidak lama lagi bagi memudahkan masyarakat menggunakan kemudahan itu secara maksimum, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, bagi mempopularkan penggunaan komputer dan jalur lebar, latihan dan bimbingan untuk masyarakat juga akan disediakan di premis berkenaan.

Katanya, penggunaan premis Jabatan Penerangan akan mengurangkan kos bagi mendirikan pusat-pusat komputer dan jalur lebar baru, yang amat tinggi.

"Sebuah pusat komputer dan jalur lebar akan menelan ratusan ribu malah lebih satu juta ringgit. Premis Jabatan Penerangan yang ada boleh menampung infrastruktur bagi tujuan tersebut.

"Kosnya hanya sebahagian kecil sahaja tetapi khidmatnya akan dirasai bersama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat khas oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai projek Universal Service Provider di sini hari ini.

Rais berkata, langkah itu kelak akan memberikan lonjakan kepada penggunaan perkhidmatan SKMM, di samping lonjakan kepada penembusan jalur lebar di daerah dan di luar bandar.

"Ia akan dimulakan secepat munkin," katanya sambil menambah ketika ini sudah terdapat 127 pusat komputer dan jalur lebar di kawasan Felda.

SKKM juga katanya, sedang berusaha mengurangkan jumlah jenayah membabitkan komputer dan telefon bimbit.

"Tidak lama lagi apabila sesebuah telefon bimbit hilang dan dilaporkan maka nombor telefon itu secara automatik akan diputuskan. Cara itu pihak yang terlibat dengan jenayah itu tidak dapat menggunakan telefon itu.

''Kerajaan juga akan mengenakan syarat supaya maklumat diri pembeli telefon bimbit direkodkan dan didaftarkan mengikut kad pengenalan,'' katanya.

Tiada ulasan: