Selasa, 16 Mac 2010

Iklan Tindakan Terdesak SPRM Pulihkan Imej

SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengambil iklan dalam akhbar media arus perdana merupakan tindakan terdesak institusi itu memulihkan imejnya di mata rakyat dan masyarakat antarabangsa.

Menurut Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam usaha SPRM itu untuk mengubah persepsi awam terhadap imejnya yang sekian lama tercalar melalui media, termasuk mengiklankan rencana berhalaman penuh dalam akhbar arus perdana baru-baru ini hanya gimik kerana agensi itu sebenarnya tidak serius membanteras rasuah terutamanya dikalangan pimpinan Umno dan Barisan Nasional.

Malah katanya usaha itu tidak akan mampu membersihkan imej SPRM selagi kes berprofil tinggi seperti kapal selam Scorpene, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang melibatkan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, serta skandal rasuah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan kematian Teoh Beng Hock tidak disiasat.

"Tindakan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan mengemukakan permohonan bertulis agar khidmatnya dipendekkan kepada akhir tahun lalu jelas menunjukkan kepincangan institusi itu tidak lagi dapat dikawal.

"Kini walaupun ketua barunya Datuk Abu Kassim Mohamed menerajui badan itu perkara yang sama akan berlaku, malah mungkin lebih teruk lagi jika kredibililti SPRM dalam menyelesaikan kes rasuah berprofil tinggi tidak dibuktikan," katanya kepada Suara Keadilan.

Beliau turut menyelar tindakan SPRM menyiarkan iklan "Bersama Lakukan Perubahan Perangi Rasuah” di dada akhbar dan media lain yang dianggapnya sebagai satu pembaziran penggunaan dana awam.

Merujuk kepada Umno Kelantan yang turut menggunakan media untuk menjelaskan mengenai royalti minyak di Kelantan, Manikavasagam berkata kini Umno-BN sudah mula secara terang-terangan menyalahgunakan dana awam untuk menyebarkan dakyah propaganda mereka kepada rakyat.

"Sumber wang yang digunakan mereka untuk pengiklanan itu sebenarnya duit rakyat. Duit rakyat ini sebenarnya untuk tujuan pembangunan negara dan modal insan, bukan untuk kepentingan sesetengah individu yang berkepentingan, ini sudah terbukti salah," katanya.

Beliau berkata bukti ketelusan dalam menangani kes rasuah berprofil tinggi merupakan elemen penting pemulihan dan pembersihan imej SPRM, selain tidak mengambil sikap selektif dalam menyiasat dan mendakwa seseorang.

"SPRM perlu memastikan tindakan yang diambil konsisten dengan visi dan misi untuk telus melakukan siasatan ke atas pelaku rasuah tanpa mengira status dan pangkat, jika tidak SPRM tetap tidak akan dihormati sebagi suruhanjaya bebas,” katanya lagi.


Tiada ulasan: