Selasa, 30 Mac 2010

Hulu Selangor: Samy temui Najib, serah nama calon

TERKINI

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR— Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tengah hari tadi berhubung persediaan menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Samy Vellu (gambar) berkata, beliau juga telah menyerahkan surat mengenai nama wakil yang akan diletakkan oleh MIC di bahagian itu kelak.

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri sekali lagi dalam dua, tiga hari lagi,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor akan berlangsung ekoran kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad Khamis lalu.

Ketika ditanya sama ada soal kemungkinan perubahan kerusi antara Umno dan MIC akan berlaku, Samy Vellu memberitahu perkara itu bukan lagi satu masalah.

Apabila ditanya lagi sama ada ia bermakna kerusi Parlimen Hulu Selangor kekal ditandingi wakil MIC, bekas anggota Kabinet persekutuan ini memberitahu, perkara tersebut akan diumumkan oleh Najib sendiri selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu laporan Bernama menyebut, Samy Vellu menolak dakwaan bahawa para pengundi di Parlimen Hulu Selangor tidak berminat dengan calon daripada MIC untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Samy Vellu brkata beliau percaya keadaan di kawasan pilihan raya berkenaan telah pun berubah sejak pilihan raya umum 2008.

“Jika kita melihat kepada keutamaan pengundi, tidak ada satu tempat pun yang kaum India boleh bertanding di negara ini.

“Masyarakat India tidak mempunyai majoriti sama sekali di mana-mana jua kawasan pilihan raya untuk bertanding. Mereka hanya boleh kekal sebagai pengundi dan ini akan membawa kepada banyak masalah lain.

“Kami telah pun keluar daripada masalah itu sekarang dan saya harap masyarakat akan cuba melupakan apa yang telah berlaku sebelum ini. Jangan cuba untuk mengingatkan mereka... itu tidak baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru sekolah Tamil Jalan Tepi Sungai di Klang hari ini.

Samy Vellu sebelum itu diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa pengundi di Hulu Selangor lebih menyukai seorang calon daripada Umno berbanding MIC untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Bekas Menteri Kerja Raya itu telah mencadangkan supaya Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel mewakili BN untuk bertanding bagi kerusi berkenaan.

Palanivel merupakan Anggota Parlimen Hulu Selangor sejak 1990 sebelum kalah pada 2008.

Ditanya sama ada beliau memikirkan calon lain di samping Palanivel untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu, Samy Vellu secara berseloroh berkata:

“Kami boleh mencari remaja lelaki berumur 18 atau 19 tahun untuk bertanding.”

Samy Vellu juga berkata cadangan MIC supaya Palanivel bertanding bagi kerusi berkenaan dilakukan berlandaskan kepada hierarki parti.

“Hierarki mesti dihormati, jika tidak masyarakat akan menyangka bahawa saya tidak menghormati keputusan majoriti.

“Palanivel adalah Timbalan Presiden parti pada hari ini disebabkan keputusan yang dibuat oleh majoriti,” katanya.

Samy Vellu berkata Palanivel mempunyai peluang yang baik untuk merampas kembali kerusi Hulu Selangor memandangkan beliau memperoleh sokongan memberangsangkan daripada bahagian MIC dalam kawasan pilihan raya itu dan pemimpin biasa dalam cawangan Umno.

Tiada ulasan: