Sabtu, 13 Mac 2010

Hakim lawat lokasi Norman, Memey didakwa berkhalwat

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini melawat pejabat pelakon Norman Hakim di Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, tempat pelakon itu didakwa berkhalwat dengan aktres Memey pada Oktober 2008.

Hakim Sallehan Yatim yang mendengar perbicaraan khalwat pasangan itu, tiba di pejabat itu pada 3.45 petang dengan diiringi Pegawai Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi, peguam syarie Mohd Fakhrul Abu Hassan, dan beberapa pegawai mahkamah.

Sallehan, diberi penerangan hampir 30 minit oleh mereka bagaimana pasangan itu ditangkap termasuk bagaimana kunci pintu jeriji dibuka mengguna pemotong dan juga melihat jarak pintu dengan jeriji ketika mengetuk pintu itu.

Lawatan itu bertujuan untuk mengetahui dengan lebih jelas keadaan lokasi yang dikatakan tempat pasangan itu ditemui berkhalwat. Antara yang dilawatinya juga bilik kecil, tempat Norman dan Memey ditemui, dan beberapa bilik yang turut digeledah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika kejadian.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dengan Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 21, didakwa berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini pada 3 pagi, 30 Okt 2008.

Norman dibicarakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey didakwa mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen yang sama.

Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh Muhamad Nazri, saksi ketiga pendakwaan Pegawai Penguatkuasa Jais, Nafarul Azian Che Nan, 34, menjelaskan beliau memberikan keterangan bercanggah sebelum ini kerana pada malam kejadian dirinya tidak cukup tidur.

Katanya disebabkan tidak cukup tidur itu, beliau tidak memberi tumpuan pada hari serbuan dan juga kerana mempunyai tugasan luar yang perlu disiapkan.

Semasa memberikan keterangan pada 5 Feb lepas, Nafarul Azian dikatakan memberi beberapa keterangan yang bercanggah semasa diperiksa oleh pihak pembelaan.

Dalam keterangannya hari ini, beliau berkata siasatan akan dilakukan sebaik saja menerima sebarang maklumat atau aduan berkaitan sesuatu kejadian khalwat.

“Setiap maklumat daripada mana-mana pengadu perlu disiasat mengikut syak. Kepastian hanya boleh didapati sebaik saja siasatan selesai dilakukan,” katanya.

Perbicaraan bersambung 31 Mac.

Tiada ulasan: