Selasa, 2 Mac 2010

Gaji minimum pengawal keselamatan diumum akhir Mac

BERNAMA


SHAH ALAM: Kerajaan akan mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan untuk pengawal keselamatan pada akhir bulan ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, hari ini.

Beliau berkata langkah itu akan memastikan pengawal keselamatan memperolehi pendapatan bulanan yang sesuai dan mengeluarkan mereka daripada kelompok kemiskinan.

"Kita belum membuat keputusan mengenai gaji minimum untuk pekerja secara menyeluruh, tetapi kita melihatnya mengikut sektor.

"Kita akan mengumumkan gaji minimum untuk sektor keselamatan yang merangkumi pengawal keselamatan menjelang akhir Mac ini.

"Kajian mengenai gaji minimum untuk mereka di sektor hospitaliti, tekstil dan elektronik masih berjalan dan pengumuman akan dibuat selaras dengan masa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada peserta yang menamatkan program ''Train and Place'' di bawah kementeriannya di sini.

Secara purata, pengawal keselamatan di sektor swasta sekitar Lembah Klang memperolehi gaji pokok RM450 sebulan, manakala mereka yang berada di kawasan luar bandar pula menerima sekitar RM250.

Subramaniam berkata gaji pekerja sepatutnya meningkat apabila tahap kemahiran dan prestasi mereka meningkat.

"Kalau pengeluaran bertambah maka gaji juga patut diberi mengikut prestasinya. Sekiranya itu tidak berlaku maka barulah kerajaan campur tangan bagi menetapkan gaji minimum kerana terdapat pelbagai pandangan berbeza mengenai perkara ini," katanya.

Dalam isu berkaitan, Subramaniam berkata kementeriannya dengan kerjasama institusi di bawah Kementerian Belia dan Sukan serta pusat latihan swasta dijangka mampu melatih sehingga 150,000 pekerja dalam masa dua tahun lagi.

"Pada masa ini kita mampu melatih 100,000 orang setiap tahun," katanya menambah bahawa kementerian itu juga akan meningkatkan program Sistem Latihan Dual Nasional untuk memenuhi keperluan sektor perindustrian.

Perubahan itu katanya akan membolehkan pekerja dilatih dalam bidang-bidang baru seperti teknologi hijau, bioteknologi dan sektor perkhidmatan.

"Ini akan mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing dan merealisasikan usaha kerajaan untuk menukar industri berasaskan buruh kepada industri berasaskan kemahiran. Cadangan ini akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10," katanya. -

Tiada ulasan: