Selasa, 2 Mac 2010

Fairus liabiliti kepada PKR

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersyukur kerana Mohd Fairus Khairuddin yang dianggap beban kini telah keluar daripada parti itu, kata Timbalan Presidennya, Dr Syed Husin Ali.

“Sejak beliau (Mohd Fairus Khairuddin) menyertai Kerajaan Pulau Pinang dan selepas meletakkan jawatan sehingga terkini, beliau merupakan liabiliti.

“Fairus tiada pilihan lain dari meletakkan jawatan sebagai timbalan ketua menteri kerana beliau ketika itu disiasat SPRM dan prestasinya tidak memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Syed Husin berkata, Fairus kecewa selepas tuntutan peribadinya tidak dilayan parti walaupun parti cuba menolong dengan sewajarnya.

“Apabila berhenti Fairus menuntut supaya parti melunaskan hutang untuk dua buah kereta mewahnya dan membayar beliau RM15,000 sebulan buat selama-lama yang ditentukannya.

“Tidak ada sebab bagi parti melayan tuntutan itu. Lagipun, parti tidak mampu berbuat demikian. Atas rasa belas kasihan terhadap anak isterinya seorang baik hati memberikannya kerja dengan bayaran bulanan sebanyak RM4,000,” katanya.

Menurutnya, Fairus tidak berpuas hati dan mula mencari pihak yang sanggup membayarnya dengan jumlah lebih besar.

“Kini beliau sudah berjumpa dengan pemimpin UMNO yang boleh membayarnya jauh lebih besar dari itu. Fairuz memberikan alasan kaum dan agama kerana tindakannya.

“Sangat memalukan, beliau sendiri, kawan-kawannya dan Allah mengetahui sebab sebenar,” katanya.

Tiada ulasan: