Khamis, 18 Mac 2010

Exco Pemuda PAS pula dipanggil beri penjelasan

Jimadie Shah Othman



Selepas mendapatkan penjelasan daripada seorang penulis blog, pejabat agung PAS akan memanggil seorang lagi exco Pemudanya bagi melengkapkan siasatannya berhubung aduan salah laku terhadap pemimpinnya.

Setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali berkata, exco berkenaan, Abdullah Karim - yang mendakwa terdapat 'konspirasi' tiga pemimpin PAS bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat - dipanggil bagi menyampaikan hujah dan bukti-buktinya.

“Untuk dilihat berlaku adil, kita akan panggil Abdullah memberikan penjelasan tentang aduannya,” katanya ketika ditanya sama ada siasatan terhadap aduan Abdullah dibuka kembali.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini bulan lalu, Mustafa memberitahu bahawa aduan Abdullah telah rasmi ditolak kerana tidak cukup merit, ekoran terdapat beberapa fakta yang tidak tepat.

Selain Abdullah, pejabat agung PAS juga sebelum ini telah memanggil penulis blog Abdul Rahman Talib - atau dikenali sebagai Tulang Besi - bagi membantu siasatan mereka. Abdul Rahman bagaimanapun dipanggil untuk kes yang berbeza.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Mustafa menjelaskan, walaupun pihaknya telah mengumpulkan maklumat berhubung aduan itu, beliau perlu mendengar sendiri penjelasan daripada peguam muda itu.

Bagaimanapun, tambah Mustafa, masa bagi pertemuan tersebut belum ditetapkan dan bergantung kepada kelapangan Abdullah yang kini menetap sementara di United Kingdom.

Mustafa juga enggan mendedahkan nama pemimpin tersebut. Bagaimanapun, beliau mengesahkan ia seramai tiga orang.

“Untuk berlaku adil, nama mereka tidak perlu didedahkan buat masa ini,” katanya.

Malaysiakini difahamkan ketiga-tiga pemimpin tersebut amat rapat dengan pemimpin kanan PAS, termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

Difahamkan juga seorang daripada mereka memegang jawatan penting dalam PAS Selangor manakala seorang lagi pernah menjadi calon PAS pada tahun 1999.

Mustafa juga menjelaskan, menurut perlembagaan PAS, aduan daripada individu - bukan dibuat oleh mana-mana badan dalam parti, seperti bahagian, negeri atau dewan - tidak perlu dibawa kepada jawatankuasa tatatertib parti itu.

Tiada ulasan: