Isnin, 15 Mac 2010

Empat syarikat teraju projek pemulihan Sungai Klang

SELANGOR KINI


KLANG: Kerajaan Negeri Selangor memilih empat syarikat untuk menjalankan Projek Pemulihan dan Pembangunan Sungai Klang yang menjadi tumpuan utama dalam Pakej Rangsangan Ekonomi.

Empat syarikat itu ialah TSS-Mako Engineering Sdn Bhd, GJA Engineering & Construction, Wessex Water i-Berhad Consortium dan DPZ Asia Sdn Bhd.

Syarikat-syarikat ini dipilih daripada 37 buah yang telah menghantar kertas cadangan kepada kerajaan negeri sejak Oktober tahun lalu.

Empat syarikat ini dipilih berdasarkan pengalaman dan kepakaran teknikal dalam kerja membersih, memulihara dan membangunkan sungai selain mempunyai kewangan yang kukuh.

TSS-Mako adalah syarikat usaha sama antara syarikat tempatan dengan tiga firma kejuruteraan terbesar dari Korea.

Syarikat ini mempunyai pelbagai pengalaman menguruskan projek membabitkan sungai termasuk projek penyelenggaraan Sungai Han Selatan, Projek Terowong Pelayaran Seoul-Incheon dan Terminal Kontena Gemalink Fasa Satu di Vietnam.

GJA Engineering pula dimiliki sepenuhnya Bumiputera dan sejak tiga tahun lalu, syarikat ini terbabit dalam membangunkan projek ‘reka dan bina’ untuk Kementerian Pelajaran Malaysia.

Wessex Water pula yang berpangkalan di United Kingdom terbabit merawat air kumbahan di kawasan seluas 10,000 kilometer persegi di barat daya England.

Air yang dirawat sebanyak 352 juta liter sehari dibekalkan kepada 1.25 juta pengguna.

Dengan kerjasama dengan syarikat tempatan, i-Berhad, Wessex Water i-Berhad Consortium ini dijangka menghasilkan keputusan yang positif. Sementara DPZ Asia Sdn Bhd pula pakar dalam bidang perancangan serta rekaan dan telah terlibat dalam banyak projek mega di seluruh dunia.

Selangor yakin empat syarikat ini akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk memastikan projek ini berjaya. Ini adalah projek usahasama kerajaan dan swasta atau Public-Private Partnership (PPP).

Pakar teknikal berpengalaman yang mewakili empat syarikat ini akan membentuk Sekretariat Projek Pemulihan dan Pembangunan Sungai Klang bersama-sama Kerajaan Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor menaruh keyakinan tinggi bahawa projek ini akan berjaya. Sejak beberapa tahun lalu, usaha membersihkan Sungai Klang telah dijalankan tetapi projek ini masih tidak berjaya.

Projek ini akan menjadikan Sungai Klang bersih pada masa akan datang dan menjadikan kawasan tebing sungai serta kawasan sekitarnya sesuai untuk pembangunan ekonomi dan pusat komuniti.

Kerajaan negeri komited untuk menjadikan Sungai Klang sebagai harta yang berharga kepada ekonomi dan rakyat negeri ini.

Tiada ulasan: