Rabu, 3 Mac 2010

Ekonomi negara sudah pulih?

Oleh Dr Dzulkefly Ahmad

Pengumuman dibuat oleh YAB PM DS Najib beberapa hari lalu bahawa ekonomi telah pulih tentunya merupakan satu berita gembira.

Dalam suku terakhir tahun 2009, ekonomi mencatat pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus, meskipun mengalami penguncupan sebelumnya; penguncupan tiga suku sebelumnya, iaitu 6.2 peratus pada suku pertama, 3.9 peratus pada suku kedua dan 1.2 peratus pada suku ke tiga.

Bagi tahun 2009, ekonomi negara mencatat penguncupan sebanyak 1.7 peratus, iaitu lebih rendah daripada penguncupan 3 peratus yang diunjurkan sebelum ini. Untuk pengetahuan umum, pertumbuhan adalah sebanyak 4.6 peratus dalam tahun 2008.

Ekonomi telah pulih tegas Najib dan pimpinan kerajaan seperti Menteri Besar Pahang yang kurang arif tentang ekonomi lantas menyebutkan bahawa ini semua adalah kerana kebijaksanaan Najib mengurus ekonomi negara.

Penulis tidak suka untuk menganggu keseronokan dan euporia ini. Rakyat telah lama terhempit dengan pelbagai penderitaan hidup. Mereka mahukan satu suntikan harapan. Najib pula sangat berhajat untuk membuktikan bahawa beliaulah penyebab pemulihan ekonomi ini dan dialah harapan untuk rakyat.

Malangnya penulis terpaksa berterus terang bahawa Najib tersilap dalam membuat rumusan bahawa ekonomi telah pulih, kecuali dalam erti yang terlalu ‘teknikal’. Lebih silap lagi ketika dia dan pimpinan Umno/BN menyangka bahawa dialah pencetus dan pemangkin kesemua ini.

Yang layak disebut Najib hanyalah bahawa ekonomi tumbuh pada 4.5 peratus dalam suku keempat 2009 dan keseluruhan 2009 mencatat penguncupan pada paras 1.7 peratus, iaitu lebih baik dari penguncupan 3peratus yang dijangkakan. Ada pun sebab utama pertumbuhan 4.5 peratus yang dicapai tidaklah kerana apa jua langkah ajaib dan keberkesanan pendekatan Najib mengurus ekonomi kecuali kerana permintaan global pada suku akhir 2009 sememang meningkat dan ini disaksikan di semua negara.

Meletakkan punca utama kerana suntikan rangsangan fiskal seperti didakwa Najib agak tidak tepat kerana dari jumlah RM 67 bilion yang diperuntukkan dalam dua pakej rangsangan fiskal itu, sehingga akhir September 2009, hanya RM8.2 bilion sahaja yang dibelanjakan (ms 3, Dalam Laporan Ekonomi Kementerian Kewangan Malaysia 2009/2010).

Najib mutakhir ini pula mendakwa telah membelanjakan RM17bilion dari pakej tersebut, dengan jumlah bayaran setakat ini sebanyak RM13.9bilion. Puratanya sebanyak RM1bilion disuntik sebulan dakwa beliau dalam 13 bulan lalu.

Dengan mengambil kira kesan berganda kegiataan ekonomi akibatnya, mungkin ada kesannya sedikit terhadap pertumbuhan KDNK dalam sebuah ekonomi yang KDNKnya ialah anggaran RM700 bilion. Penulis boleh akui.

Namun pertumbuhan 4.9 peratus suku akhir 2009, tegasnya adalah akibat permintaan global yang semakin pulih dan kesemua negara-negara Asean seperti Indonesia, Vietnam dan Singapura mengalami pertumbuhan yang lebih baik dan rancak lagi. Ini tidak termasuk China dan India yang mengalami pertumbuhan yang lebih mantap.

Pun begitu, apakah dengan pertumbuhan 4.5 peratus dalam suku akhir 2009 lalu maka kerajaan BN di bawah Najib ini mampu berkokok seluruh kampung yang ekonomi telah ‘pulih’? Tambahan pula kalau seperti didakwa mereka bahawa ini adalah hasil suntikan pakej rangsangan kerajaan kerana kaedah rangsangan adalah kaedah ‘pump-priming’ atau ‘mengepam’ ekonomi. Ia adalah tidak mapan, tidak lestari atau ‘sustainable’ dan bersifat jangka pendek.

Tidak ada yang boleh di sorak atau diberikan tepukan gemuruh akibat ‘kejayaan’ pertumbuhan ini! Pemulihan sebenar ekonomi perlu menggarap beberapa persoalan asas yang bersifat fundamental dan struktural yang telah mengakibat ekonomi negara, seperti diakui oleh Menteri Kewangan kedua-2 sebagai mengalami satu dekad ‘kebekuan’ atau ‘stagnation’.

Paling asas adalah menangani persoalan struktural yang telah terperangkap dalam satu model ekonomi berpendapatan rendah, berprestasi rendah di segi nilai tambah yang rendah dan produktiviti yang juga rendah. Bagaimanakah kerajaan mampu menjana ekonomi berpendapatan tinggi yang memilikki kegiatan ekonomi bernilai tambah tinggi sekaligus menghasilkan produktiviti yang tinggi?

Itu adalah model ekonomi yang dihajati negara untuk keluar dari perangkap modal lama. Ia tentunya perlu menggarap kegiatan bidang selain dari ekonomi seperti pendidikan dan latihan yang menghasilkan warga kerja dan buruh berkemahiran tinggi (supply-side economics) bersekali dengan mencapai pertumbuhan mapan dan lebihan bajet yang mampu dilaburkan bagi memacu pertumbuhan seterusnya.

Pemulihan ekonomi secara jangka-panjang dan mapan adalah jawapan kepada permasalahan ekonomi negara. Pastinya ‘pemulihan’ atau ‘recovery’ tidak hanya sekadar merujuk kepada perbandingan angka pertumbuhan dalam dua suku. Itu ‘pulih’ secara ‘teknikal’ sahaja.

Tambahan kalau ekonomi masih di belenggu dengan segala kegiatan yang tidak menghasilkan dayasaing atau ‘competitiveness’ dengan polisi yang mengutamakan kroni, perlindungan industri yang tidak berdaya maju, monopoli, pemberian subsidi pada sasaran yang salah, pengurusan timpang yang tiris dan bocor yang sarat dengan amalan rasuah.

Kedua, kenaikan lebihan dagangan luar (external trade surplus) pada tahun 2009 sebanyak RM118.35 bilion tidak diikuti dengan peningkatan sejajar simpanan asing (foreign reserve). Simpanan asing pada tahun 2009 menokok hanya USD5 bilion pada jumlah USD96.7 bilion pada tahun Dis 2009 dari USD91.5 bilion pada tahun Dis 2008.

Pakar-pakar ekonomi amat runsing dengan ketidaksejajaran atau kesenjangan ini yang sekaligus memaparkan bahawa di sana terdapat aliran keluar dana lebih banyak dari kemasukan dana ke dalam negara. Bank Negara Malaysia juga turut runsing dengan fenomena ini yang sekaligus mengisyaratkan ‘kehilangan keyakinan’ pelabur terhadap ekonomi negara.

Dengan ekonomi yang telah sekian lama dipacu oleh perbelajaan kerajaan atau faktor “G” dalam formula KDNK yakni KDNK= C + G + I + (X-M), di mana C- adalah Perbelanjaan (awam), G – perbelanjaan kerajaan, I – pelaburan swasta (luar dan dalam) dan (X-M) atau (Ekpsot – Impot), ia telah mengakibatkan defisit belanjawaan selama 13 tahun dan ke paras 7.4 peratus bahkan ada yang menyebutkan sebagai 8peratus tahun 2009.

Justeru itu kerajaan tidak lagi mampu melakukan ‘pengepaman’ atau ‘pump-priming’ dalam menjana pertumbuhan. Hutang kerajaan Persekutuan tahun 2009 adalah ke tahap RM362,520bilion atau bersamaan 55.2 peratus KDNK, berbanding RM306,437 bilion pada 2008. Faktor “G” tidak lagi mampu digunakan untuk menjana pertumbuhan KDNK.

“I” seperti dalam KDNK ialah pelaburan swasta samada dari sumber luar atau asing dan tempatan. Sumbangan pelaburan swasta di negara kini hanya pada paras 10peratus berbanding lebih dari 30peratus dalam tahun 90an. Hakikat ini mesti diakui oleh kerajaan BN sekarang ini.

Kehilangan dayasaing negara telah meletakkan negara bukan sahaja gagal mengamit pelaburan asing langsung (FDI) bahkan sebaliknya mengalami aliran keluar dana tempatan sebanyak RM9.14 bilion pada tahun 2007, RM26 bilion pada tahun 2008 dan RM14.6 bilion untuk 9 bulan dalam tahun 2009.

Fenomena pengaliran keluar dana tidak boleh lagi dihujjahkan sebagai pelabur tempatan mahu menyambut seruan menjadi pelabur global. Ketika kerajaan tidak lagi mampu memacu pertumbuhan dengan “G” kerana melebarkan defisit, maka “I” diperlukan. Namun “I” tidak mampu memacu pertumbuhan kerana pelaburan swasta tidak dapat dijana.

Kelembapannya akan menjejaskan penjanaan kerja, pelaburan dalam kegiatan ekonomi bernilai tinggi untuk merancakkan pencapaian ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan akhirnya pertumbuhan yang mapan.

Sementara itu model ekonomi negara yang bergantung kepada pendapatan sumber minyak dan gas sudah tidak lagi wajar dan tidak mapan (sustainable) kerana telah ke paras 45 peratus dari seluruh pendapatan negara.

Akhir sekali, andainya inflasi terus meningkat kerana antara lainya, kenaikan cukai, seumpama kesan GST, penarikan subsidi seumpama bahan bakar, kenaikan tarif utiliti seperti elektrik, maka rakyat akan terus kehilangan kuasa membeli. Dengan itu peningkatan ‘C’ atau perbelanjaan akan turut terjejas.

Kesan ini akan menjejas ‘demand side’ atau permintaan. Sedikit sebanyak faktor ‘C’ atau perbelanjaan inilah, yang telah membantu peningkatan pertumbuan dalam suku akhir 2009. Namun sayugia dingatkan bahawa ‘gaji sebenar’ atau ‘real wages’ buruh atau ‘labour’ di negara ini hanya mengalami peningkatan sebanyak 2.6peratus mengikut Bank Dunia dalam 1994-2007. Dengan kata lain faktor ‘C’, akibat dari ‘gaji sebenar’ dan gaji ‘boleh berbelanja’ (disposable income) yang tidak meningkat, akan mengekang pertumbuhan yang lebih rancak.

Kita beraleh kepada faktor (X-M) atau Ekspot tolak Impot. Lebihan dagangan telah penulis sebutkan di atas. Sememangnya kita adalah sebuah negara yang bergantung kepada ekspot. Itu tidak salah. Dan inilah juga yang memacu pertumbuhan dalam suku akhir tahun lalu ini secara signifikan. Tetapi sebaliknya pula, selama manakah produk-produk negara boleh terus berdayasaing, kalau kita terperangkap dengan nilai-tambah yang rendah dengan pelaburan swasta (I) serta ekonomi domestik mandom dan lembap?

Fikirkan. Mampukah kita melonjakkan dayasaing negara atau ‘competitiveness’ dalam mendepani persaingan global yang semakin sengit dan getir?

Kesemua penghujjahan dan senario ini membuktikan bahawa ekonomi negara belum pulih dalam erti yang sebenarnya. Sedarlah wahai semua! Kesedaran adalah titik bermula perubahan dan reformasi tulen.M/I

Tiada ulasan: