Rabu, 17 Mac 2010

Digigit buaya: A'Famosa bayar ganti rugi RM43,000

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR – A' Famosa Golf Resort Berhad hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini supaya membayar ganti rugi RM43,000 kepada seorang ahli perniagaan yang diserang dan digigit oleh seekor buaya ketika bermain golf di resort tersebut di Melaka, enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Harmindar Singh Dhaliwal memerintahkan demikian selepas A'Famosa bersetuju membayar ganti rugi dan kos guaman terhadap Hong Kee Siong atau Terry Hong, 48, yang memfailkan saman kecuaian terhadap syarikat itu pada 18 Mei 2004.

Harmindar merekodkan persetujuan tersebut di kamar beliau hari ini yang sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan kes berkenaan.

Menurut peguam Keppy Wong Khai Pun, dengan persetujuan itu, kes tersebut selesai tanpa perlu menjalani perbicaraan.

Beliau juga berkata, sebelum ini kes berkenaan telah didengar di hadapan empat hakim semasa di peringkat pengurusan kes.

Pada prosiding hari ini, A'Famosa diwakili peguam Datin Anushiya Kuppusamy.

Dalam pernyataan tuntutan, Terry selaku plaintif mendakwa, dia bermain golf di premis defendan dan diserang serta digigit oleh seekor buaya yang telah cuba mengheretnya ke dalam air berdekatan dengan kawasan Crocodile Nine, Hole 7.

Plaintif mendakwa kejadian tersebut berlaku semasa Tahun Baru Cina pada 22 Januari 2004.

Dakwa plaintif, defendan telah melakukan kecuaian apabila gagal mengesan kehadiran binatang berbahaya di sebuah padang golf yang merupakan satu tempat rekreasi dan bersukan serta terbuka kepada penggunaan awam.

Akibat serangan tersebut, Terry mendakwa telah mengalami kecederaan teruk pada kaki kiri selain mengalami kejutan mental yang amat sangat serta menanggung kesakitan kecederaan.

A' Famosa pula dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 8 Julai 2004 pula mendakwa, serangan itu berpunca daripada kecuaian dan kelalaian plaintif.

Syarikat itu juga mendakwa, plaintif telah gagal menjaga keselamatan dirinya sendiri dan berdiri di atas dinding batu kawasan rehat buaya walaupun mengetahui ia berbahaya.

Defendan turut menafikan bahawa mereka cuai apabila gagal mengesan kehadiran buaya kerana telah mengambil langkah-langkah sewajarnya dan munasabah untuk memberi amaran dan notis yang mencukupi melalui tanda dan notis isyarat.

Tiada ulasan: