Selasa, 16 Mac 2010

CD ‘Allah’: Mahkamah dengar kes rampasan 3 Jun

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes seorang wanita dari Sarawak yang mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas lapan cakera padat (CD) mengenai ajaran Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’.

Penolong Pendaftar Kanan Halilah Suboh menetapkan tarikh tersebut dalam kamar hari ini.

Pada 20 Ogos, 2008, Jill Ireland Lawrence Bill, memfailkan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mandamus (memaksa pihak berkuasa mematuhi perintah mahkamah) bagi mengarahkan KDN mengembalikan kesemua CD tersebut.

Jill, yang bekerja sebagai seorang kerani, mendapatkan kebenaran dari Mahkamah Tinggi pada 4 Mei tahun lalu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman itu.

Wanita berusia 27 tahun itu diwakili oleh peguam Annou Xavier.

Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi, yang meakili pihak responden, memberitahu pemberita bahawa mahkamah mengarahkan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk memfailkan afidavit berhubung kes itu.

Wanita itu turut memohon perisytiharan bahawa dia mempunyai harapan sah untuk bebas menggunakan perkataan ‘Allah’ selain mempunyai hak memiliki, memperoleh, menggunakan dan mengimport bahan yang dicetak serta diterbitkan termasuk lapan CD terbabit.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonannya, Jill menyatakan, lapan CD ajaran agama Kristian itu dirampas semasa dia tiba di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang pada 11 Mei 2008.

Wanita itu mendakwa CD terbabit yang mengandungi judul termasuk “Cara Menggunakan Kunci Kerajaan Allah”, “Cara hidup Dalam Kerajaan Allah” dan “Ibadah Yang Benar dalam Kerajaan Allah” dibawa masuk dari Indonesia dan adalah untuk kegunaan sendiri.

Beliau mendakwa bahawa beliau menggunakan istilah ‘Allah’ dalam sembahyang, memuja dan pendidikan agama. Dia juga mendakwa menggunakan kedua-dua Al-Kitab Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia yang menggunakan perkataan ‘Allah’.

Jill mendakwa, dia kemudian telah menerima surat daripada KDN bertarikh 7 Julai 2008 yang menyatakan kesemua CD terbabit telah disita dan dirampas di bawah Seksyen 9(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Antara sebab-sebab yang diberikan oleh KDN untuk merampas CD tersebut ialah ia mengandungi istilah larangan, menggugat ketenteraman awam dan melanggar garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Tiada ulasan: