Jumaat, 5 Mac 2010

JAKIM baharui undang-undang perkahwinan dan penceraian

BERNAMA


KUALA LUMPUR— Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengumpul maklumat dan maklum balas daripada Majlis Agama Islam Negeri berhubung cadangan pindaan Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.

Penasihat Perundangan Syariah Jabatan Peguam Negara Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata menerusi pindaan itu, apabila salah satu pasangan suami isteri yang memeluk Islam, maka pasangan dalam agama asal boleh membubarkan perkahwinan di mahkamah sivil.

“Taklimat dah pun diberikan kepada semua negeri tahun lepas. Taklimat yang diberikan ini adalah mematuhi titah Majlis Raja-Raja.

“Setakat ini, kita masih lagi mengumpul maklumat dan maklum balas dari negeri-negeri dan ada yang telah memberikan maklum balas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri muzakarah pakar bertajuk “Memperkasakan Undang-undang Berkaitan Islam: Peranan Majlis Agama Islam Negeri” di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini hari ini.

Katanya, pada masa ini, suami atau isteri yang memeluk agama Islam tidak dibenarkan mengemukakan petisyen bagi membubarkan perkahwinan mereka di mahkamah sivil.

Sheikh Ghazali berkata selepas kesemua maklumat dan maklum balas yang diterima dan diteliti, perkara itu akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk memutuskan mengenai pindaan terhadap akta tersebut.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 perlu dikaji semula bagi memberi keadilan dan mengelakkan daripada menganiaya pasangan suami isteri yang seorang daripadanya kemudian memeluk Islam.

Tiada ulasan: