Ahad, 7 Mac 2010

Bekalan gula di pedalaman masih kritikal

SABAH DAILY


KENINGAU: Bekalan gula di daerah pedalaman masih di tahap kritikal, menyebabkan ramai pengguna khususnya penjual kuih dan minuman memilih untuk gulung tikar.

“Masalah ini sudah berlarutan selama lima bulan,” dedah seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Mila.

Krisis bekalan gula di daerah pedalaman bermula semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, dan berlanjutan sehingga masa kini.

Beberapa pengguna dari daerah seperti Nabawan, Sook dan Tenom merungut kerana tidak mendapat bekalan gula sejak berbulan-bulan yang lalu.

“Kami tidak pernah merasa minuman berperisa gula sejak berbulan-bulan,” jelas seorang pengguna dari Nabawan yang dikenali sebagai Joseph Mior, 45.

Joseph yang merupakan seorang penoreh getah memberitahu, walaupun mereka sudah terbiasa tidak meminum minuman yang berperisa gula, namun keluarganya masih memerlukan gula untuk tujuan tertentu, seperti sajian minuman untuk tetamu datau saudara mara yang bertandang ke rumah mereka.

Tinjauan yang dilakukan di beberapa daerah di sini mendapati kesukaran mendapatkan bekalan gula masih menghantui pengguna.

Pengguna mempersoal kenapa gula begitu sukar diperolehi, pada ketika kerajaan menekankan jaminan bahawa bekalan bahan itu mencukupi.

“Ke mana gula itu pergi,” demikian persoalan rata-rata penduduk di sini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) Cawangan Keningau ketika dihubungi memberitahu, ‘pembelian panic’ menjadi punca berlakunya kekurangan gula di daerah ini.

“Pengguna mencatu gula dan itulah yang sedang berlaku pada ketika ini,” jelas Pegawai Unit kementerian itu, Fadly Hasbi.

Katanya, kementerian sedang berusaha untuk mengekang masalah itu dengan menegaskan mencatu bekalan gula tidak dibenarkan.

Di Keningau, kementerian itu melakukan pemantauan khas mengenai urusniaga gula dan hanya akan membenarkan pembelian diantara satu hingga dua kilogram, kepada pengguna biasa.

Bagi pengguna yang memerlukan penggunaan gula yang banyak, mereka harus mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada kementerian.

Beliau memberitahu pemborong dibenarkan menyediakan mini stok di bawah pemantauan ketat oleh kementerian.

Pemborong hanya dibenarkan menyimpan sebanyak 10 tan gula dalam masa-masa tertentu, dan daripada jumlah itu hanya 3 tan dibenarkan sebagai simpanan stok, sementara selebihnya dipasarkan kepada pengguna.

Harga gula semasa di daerah ini ialah RM1.85 sen dan tindakan menaikkan harga melebihi daripada yang dibenarkan, adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas.

Orang ramai boleh melaporkan dengan menghubungi nombor berikut: 087-338400 atau 087-338401, jika mendapati terdapat pihak tertentu yang menjual gula melebihi daripada harga yang dibenarkan.

Di kampung-kampung atau daerah di luar Keningau, gula dijual dengan harga di antara RM2.80 hingga RM3. -NST

Share |

Tiada ulasan: