Selasa, 9 Mac 2010

Bahtera siapa bocor ?

Utuh Paloi


Sebuah artikel yang termuat di akhbar arus perdana dan dipetik oleh Malaysian Insider merangsang minda saya untuk berbeza pandangan.

‘Bahtera’ siapa semakin bocor? Itulah tajuk artikel berat sebelah yang mempunyai maksud tersirat yang ingin saya jawab dalam bentuk sketsa.

Dari kaca mata yang melihat perkembangan politik semasa, dan tidak dibelenggu oleh sebarang ikatan, saya berpendapat kedua-dua bahtera – BN dan PR – sedang mengalami kebocoran serius. Terpulanglah kepada kebijaksanaan nakhoda masing-masing untuk mengambil langkah yang boleh menentukan bahtera siapa yang akan terus terapung dan yang mana pula akan tenggelam ke dasar laut.

Apabila kapal atau bahtera mengalami kebocoran, itu bukan bererti ia mesti tenggelam kerana kebocoran kapal perkara biasa. Terpulang kepada kecekapan nakhoda mengambil tindakan menyelamat.

Setakat ini, nakhoda PKR sudah pun mengambil tindakan wajar.

Disamping berusaha mengatasi kebocoran, adalah menjadi kewajipan nakhoda memastikan setiap patung dan boneka yang tidak berguna dibuang ke laut. Orang yang tidak arif menyangka tindakan itu sebagai petanda kebocoran tidak lagi dapat dikawal. Tapi sebenarnya itulah langkah bijak yang perlu diambil supaya bahtera tidak terus dibebani sampah sarap.

Bagaimana dengan bahtera BN?

Nakhodanya tahu bahtera yang telah berkarat dengan anak-anak kapal yang sudah boroi kerana kekenyangan mentekedarah hasil rompakan sedang menghadapi detik-detik cemas. Setelah berpuluh tahun bermaharajalela merompak kapal-kapal kecil, nakhoda dan kelasinya hilang arah sehingga sudah tidak tahu lagi di mana daratan. Hari demi hari, mereka sibuk membahagi harta karun sehingga terlupa cara mengatasi kebocoran. Malah api kecil di dalam kapal pun sudah merebak dan menunggu masa untuk bahtera yang sudah berusia lebih setengah abad menjadi tukun tiruan ala KD Sri Inderapura.

Apabila melihat sampah sarap, patung dan boneka yang dicampakkan ke laut oleh nakhoda PR, juragan, bentara dan kelasi BN, termasuk penulis artikel di atas, bertepuk gembira. Mereka menyangka, bahtera lawan akan segera karam.

Bahtera uzur BN yang dianggotai, antaranya kelasi tua yang pernah membakar jambatan, berpesta membuat firasat sambil menghulur talian hayat. Mereka cuba menarik barang-barang ‘reject’ itu ke dalam bahtera dengan harapan ia boleh dijadikan ‘asset’ atau senjata, atau sekurang-kurangnya boleh dibuat peluru pakai-buang (disposable).

Itu sketsa dua nakhoda. Bagaimana pula dengan anak kapal yang dibuang ke laut dan luncai-luncai yang terjun dengan labu-labu mereka?

Kalau ditamsilkan nakhoda PR dan BN sebagai gembala atau ‘cowboy’, yang pernah berguru dengan gembala tua yang sudah nyanyuk dan lupa sejarah, maka kita dapat melihat dua kelompok ternakan yang berbeza.

Lembu yang diternak PR lebih banyak tulang dari daging kerana hanya meragut rumput di padang gersang. Berbeza dengan lembu ternak di padang milik BN yang tidak payah berjemur dan bekerja keras kerana di dalam kandang pun sudah banyak rumput hijau dan dedak.

Setelah lama meragut rumput-rumput kering di padang PR, ada juga lembu yang terliur hendak bertukar tempat ragutan. Gembala di padang BN memang pemurah orangnya dan sanggup menyediakan apa sahaja untuk menggoda mereka yang bernafsu besar, asalkan lembu-lembu itu sanggup berpaling tadah. Semua lembu yang ingin menukar selera diminta mencerca kononyan terpedaya dengan janji kosong gembala mereka.

Tidakkah gembala PR boleh melakukan perkara yang sama?

http://utuhpaloi.xbrain.biz/sketsa-2-nakhoda-gembala/

Tiada ulasan: