Jumaat, 12 Mac 2010

Anwar mohon semak semula kes pemecatannya

FREE MALAYSIA TODAY


Sankara Nair1 KUALA LUMPUR: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon semakan semula berhubung Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penyingkiran beliau dari jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan 11 tahun lalu adalah sah di sisi undang-undang.

Peguamnya, Sankara Nair memberitahu peguam utama Anwar, Karpal Singh memfailkan permohonan itu di bawah Seksyen 137, Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan pada Rabu lalu.

"Kami berpendapatan pintu tidak tertutup sepenuhnya apabila terdapat isu ketidakadilan," kata Sankara, dipetik The Star.

Isnin lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa pemecatan beliau sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada 2 September 1998 oleh perdana menteri pada ketika itu, Dr Mahathir Mohamad adalah sah di sisi undang-undang.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pemecatan Anwar dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan maka dengan itu, sah di sisi undang-undang.

Sankara berkata, beliau juga telah memfailkan petisyen rayuan oleh Anwar untuk menyingkirkan hakim dari perbicaraan kes tuduhan liwat. Petisyen itu telah difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Zabidin Mohd Diah telah menolak permohonan Anwar bagi menyingkirkan beliau dari terus membicarakan kes tuduhan liwat terhadap Anwar pada 18 Februari lalu.

Tiada ulasan: