Selasa, 16 Mac 2010

Anwar Layak Pikul Tanggungjawab Ketua Pembangkang

Oleh Muhammad Faizal Zakaria


KUALA LUMPUR - Lapan Senator Pakatan Rakyat hari ini menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Ketua Umum KEADILAN sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen serta menaruh keyakinan penuh kepada untuk mengemudi gagasan itu ke arah impian menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Bercakap pada sidang media yang diadakan selepas perasmian penggal ketiga persidangan Parlimen ke-12, Senator Dr Syed Husin Ali berkata tidak timbul pertikaian terhadap kepimpinan Anwar sebagai Ketua Pembangkang walaupun empat anggota Parlimen KEADILAN menjadi wakil rakyat Bebas termasuk tiga melompat parti dan satu dipecat keahlian parti.

"Pakatan Rakyat semakin kuat hari demi hari dan pada peringkat akar umbi sokongan ini dapat dilihat dengan jelas, membuak-buak. Kita menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan yakin terhadap kepimpinan dan pengalaman luas beliau," kata Dr Syed Husin.

Sebelum ini Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin mempertikaikan kedudukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang setelah jumlah kerusi KEADILAN merosot kepada 27 daripada 31.

Senator Tunku Aziz Ibrahim ketika ditemui Suara Keadilan pula berkata keteguhan Pakatan Rakyat sehingga kini adalah disebabkan kepimpinan Anwar yang dilihat sebagai seorang tokoh politik yang disegani bukan sahaja di dalam negara malah di dunia antarbangsa.

"Tidak timbul sebarang keraguan terhadap ketokohan dan kepimpinan Anwar. Beliau layak sebagai Ketua Pembangkang pada bila-bila masa sehingga Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan pusat," tambah beliau.

Turut hadir pada sidang media itu termasuk Senator Mustafa Kamal Mohd Yusof dari Pulau Pinang, Senator Mumtaz Md Nawi dari Kelantan, Senator Zamri Yusuf dan Senator Mohd Yusuff Hussein kedua-duanya dari Kedah, dan Senator Ramakrishnan Suppiah dari Selangor.

Tiada ulasan: