Selasa, 16 Mac 2010

Aliran cadang wakil rakyat lompat parti diboikot

DETIK DAILY


KUALA LUMPUR: Presiden Aliran, P Ramakrishnan berkata, wakil rakyat yang belot dan melompat parti tidak boleh dimaafkan dan perlu dihukum atas perbuatan mereka itu.

Beliau berkata, tindakan mereka ini telah mengkhianati amanah beribu-ribu orang pengundi yang telah memenangkan mereka dalam pilihan raya yang lalu.

"Zahrain Mohd Hashim telah mengecewakan 27,618 pengundi. Tan Tee Beng, 20,210 pengundi, Muhsin Fadzil Samsuri 18,943 pengundi. Kesemuanya kira-kira 66,771 pengundi yang telah memberikan mereka sokongan untuk menduduki Parlimen dan memperolehi gaji beribu-ribu ringgit," katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai kejadian lompat parti ahli-ahli Parlimen KeADILan Bayan Baru, Nibong Tebal dan Bagan Serai baru-baru ini.

Mereka ini, kata Ramakrishan, tidak mempunyai prinsip, sama seperti mereka yang melompat parti di Perak, yang melanggar asas-asas demokrasi dan mengecewakan kehendak popular rakyat Perak.

Katanya, mereka ini perlu dihukum supaya ia menjadi pengajaran bagi mereka yang ingin berbuat perkara yang sama pada masa hadapan.

"Kita tidak boleh memaafkan kesalahan mereka, mereka perlu dihukum setiap hari supaya hari-hari yang mereka lalui cukup sengsara kerana mengkhianati amanah rakyat.

"Mereka perlu diboikot dan disisihkan. Mereka tidak boleh dihormati dan disanjungi. Mereka tidak boleh dibiarkan menyembunyikan wajah masing-masing dan diberi perlindungan di negara ini," sambungnya.

Ramakrishnan juga berkata Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti bakal menjadi medan tempur yang memeritkan buat BN.

"Rakyat Malaysia kini semakin bosan dengan demokrasi pincang yang diamalkan oleh BN yang merampas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, menyekat peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang serta menafikan hak mendapatkan royalti minyak kepada Kelantan," katanya.

Sebelum ini, Harakah melaporkan, kira-kira 500 pengundi kawasan Bagan Serai melauhkan rasa tidak puas hati dengan tindakan ahli Parlimen mereka, Muhsin Fadzli Samsuri mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.

Mereka mengadakan demonstrasi pada pagi 4 Mac lalu dan berarak dari Pejabat KeADILan kawasan menuju pejabat Muhsin bagi menyatakan bantahan. Antara yang hadir ialah wakil rakyat Pakatanm iaitu Adun Selinsing, Husin Din, Adun Semanggol, Ramli Tusin, Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim, Adun Kuala Kurau, Yunus Jamhari serta Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Tiada ulasan: