Sabtu, 6 Mac 2010

Ahli perniagaan setuju jelaskan bil elektrik masjid

UTUSAN ONLINE


PENDANG - Bekalan elektrik ke Masjid Nur Salam, Kampung Kubang Jelai di sini yang terputus sejak tiga hari lalu akan pulih seperti biasa setelah seorang ahli perniagaan bersetuju untuk menjelaskan bil tertunggak itu.

Ahli perniagaan tersebut, Datuk Hashim Ismail berkata, selain menjelaskan bil yang tertunggak sebanyak RM6,400 itu, beliau juga akan membayar bil elektrik masjid tersebut setiap bulan.

"Imam Masjid Nur Salam, Sanusi Salleh adalah kenalan lama saya dan hari ini saya tergerak untuk datang melawatnya.

"Saya tidak tahu bekalan elektrik di masjid ini telah dipotong dan hanya mengetahuinya setelah membaca laporan akhbar yang ditunjukkan oleh isteri Sanusi ketika melawat rumah mereka pagi tadi," kata beliau yang merupakan Pengerusi Eksekutif PRM Global Vision Sdn. Bhd. ketika ditemui di sini hari ini.

Akhbar hari ini menyiarkan kisah mengenai para jemaah di masjid tersebut yang terpaksa menunaikan solat Maghrib dan Isyak dengan diterangi cahaya lilin.

Keadaan itu berlaku disebabkan bekalan elektrik ke masjid tersebut dipotong setelah tertunggak selama lima tahun.

Menurut Hashim, dia tidak sanggup melihat jemaah di kampung itu menunaikan solat dalam keadaan 'gelap' hanya kerana pihak pengurusan masjid tidak mampu membayar bil tersebut.

"Saya hulurkan dana ini dengan niat untuk membantu sesama Muslim dan bukan ada niat lain," katanya.

Dalam pada itu, Sanusi berkata, dia bersyukur kerana ada umat Islam yang sudi membantu pihaknya menyelesaikan bil elektrik yang tertunggak itu.

"Memang ada sedikit selisih faham yang berlaku mengenai masjid ini dan saya harap ia akan diselesaikan segera.

"Tiada masjid yang boleh dikatakan masjid keluarga kerana masjid adalah rumah Allah dan terbuka kepada semua umat Islam untuk beribadah," katanya.

Tiada ulasan: