Selasa, 2 Mac 2010

30 kem tentera usang diganti baru

Oleh Suhana Roslan


KUALA LUMPUR: Semua 30 kem tentera lama di seluruh negara akan dirobohkan dan digantikan dengan kem baru di bawah program Army Care (Tentera Prihatin) dengan pembinaannya dijangka siap dalam tempoh lima tahun akan datang.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin, berkata program Army Care yang diperkenalkan pada 2005 menggunakan kaedah Industrial Building Standard (IBS) iaitu merobohkan kem lama dan usang serta digantikan dengan kem baru di atas tapak sama.

Beliau berkata, dua kem sudah dirobohkan dan dalam proses pembinaan semula iaitu Kem Batalion 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kuantan dan Kem Batalion 25 RAMD di Bentong, kedua-dua di Pahang.

“Kebanyakan kem yang akan dirobohkan sudah berusia lebih 60 tahun termasuk Kem Majidi, Kem Kluang di Johor dan Kem Sungai Petani, Kedah.

“Melalui program ini, Tentera Darat (TD) dapat menggantikan semua kem usang tanpa mencari lokasi lain, sekali gus mengurangkan kos ditanggung kerajaan,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan Ulang Tahun Tentera Darat Ke-77 di Kem Sungai Besi di sini, semalam.

Muhammad Ismail berkata, program itu dilaksanakan untuk meningkatkan taraf hidup dan prasarana warga TD bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih selesa.

Katanya, sebuah kem infantri batalion standard yang mempunyai bangunan teknikal seperti pejabat, stor peluru dan senjata serta kediaman anggota memerlukan peruntukan kira-kira RM100 juta, manakala bagi pembinaan rumah keluarga pula membabitkan tambahan kos RM60 juta hingga RM70 juta.

“Bagaimanapun, dengan menggunakan kaedah IBS, kos pembinaan sesebuah kem batalion infantri standard ialah sekitar RM40 juta hingga RM55 juta, manakala tempoh pembinaan hanya enam hingga lapan bulan,” katanya.

Sementara itu, dalam perutusan Hari Tentera Darat Ke 77, Muhammad Ismail berkata, TD kini sudah berubah menjadi sebuah angkatan konvensional yang moden dan berkemampuan dalam menangani pelbagai bentuk ancaman.

“TD akan terus melalui pelbagai proses transformasi dan pemodenan sejajar dengan kemajuan teknologi dan keadaan persekitaran strategik.

“Oleh yang demikian, semua warga TD perlu bergabung tenaga kepakaran, pemikiran strategik bagi mencapai misi Mempertahankan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar dan membantu pihak berkuasa awam,” katanya.

Tiada ulasan: