Sabtu, 6 Mac 2010

136 peneroka dapat tanah lot

BERITA HARIAN ONLINE


KLANG: Penantian 136 peneroka di tanah milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di Kampung Seri Nadi, Jalan Kebun dekat sini, untuk memiliki tanah yang diterokai sejak hampir 40 tahun lalu, berakhir selepas menerima tawaran jual beli lot tanah berkenaan, semalam.

Mereka juga menerima ‘durian runtuh’ apabila tawaran harga tanah berkenaan dikurangkan sehingga 50 peratus daripada harga minimum sebanyak RM45,000 bagi setiap 0.4 hektar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata nilai tanah itu dikurangkan hingga RM22,500 walaupun nilai sebenar RM250,000 bagi setiap 0.4 hektar.

Katanya, penduduk meneroka tanah berkenaan yang pada asalnya milik kerajaan Selangor, pada awal 1970-an, iaitu 48 hektar daripada 280 hektar tanah yang diperuntukkan kepada Mardi untuk tujuan pusat dan plot penyelidikan pada 1971 manakala Mardi memohon supaya tanah itu menjadi miliknya pada tahun sama.

Bagaimanapun, Kerajaan Selangor hanya meluluskan permohonan itu pada 1997.

“Dengan tawaran hari ini, 136 peneroka berkenaan mendapat tanah seluas 0.24 hektar hingga 0.4 hektar.

“Apabila kita tawarkan RM45,000 bagi setiap 0.4 hektar (pada 2002), penduduk tidak berpuas hati dan mengatakan terlalu mahal dan merayu kerajaan Selangor untuk mengurangkan harga itu,” katanya pada sidang media selepas Lawatan Kerja dan Majlis Penyampaian Sijil Pengesahan Penerimaan Tawaran Jual Beli Tanah Mardi, di sini, semalam.

Noh berkata, walaupun kerajaan Selangor, pada 2008 bersetuju mengurangkan bayaran terhadap 0.4 hektar tanah sebanyak 5 peratus daripada RM45,000, ia masih membebankan peneroka yang kebanyakannya warga emas.

Katanya, apabila isu itu dibawa ke pengetahuannya pada 2009, beliau menasihati Mardi untuk mempertimbangkan potongan sebanyak 50 peratus harga minimum tanah berkenaan.

Sementara itu, katanya, Mardi juga sedang merayu kepada Kementerian Kewangan untuk pengecualian duti setem bagi proses pindah milik iaitu sebanyak RM3,500 bagi setiap 0.4 hektar.

Tiada ulasan: