Sabtu, 13 Februari 2010

Zahrain diminta kosong kerusi Parlimen Bayan Baru

Oleh Amin Ridzuan Ishak


GEORGETOWN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bayan Baru mendesak bekas Ketuanya, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang keluar daripada parti itu semalam supaya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru.

Pemangku Ketuanya, Tan Seng Keat, berkata Zahrain perlu mengosongkan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008 atas dasar prinsip dan menjadi wakil rakyat hasil sokongan ahli PKR cabang berkenaan.

“Tanpa sokongan ahli, beliau tidak akan menang dan sudah menjadi tanggungjawabnya supaya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru secepat mungkin.

“Jangan tangguh lagi kerana Zahrain menang atas kerusi PKR dalam pilihan raya umum lalu," katanya malam tadi.

Tan berkata, ahli dan kepimpinan Cabang Bayan Baru kesal dengan tindakan Zahrain meninggalkan PKR ketika parti itu berdepan dengan masalah membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan meliwat.

"Tindakan beliau meletak jawatan atas alasan disingkirkan sebagai Pengerusi Island Properties Golf Sdn Bhd, membuktikan beliau lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding parti.

"Kami tidak memerlukan pemimpin seperti ini yang mempunyai kepentingan peribadi dan membuat kritikan tidak betul mengenai kerajaan negeri," katanya.

Tiada ulasan: