Ahad, 14 Februari 2010

Wisma Putra Akan Jelas Fakta Perbicaraan Anwar Pada Australia: Najib

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Wisma Putra telah diberi tanggungjawab menjelaskan kepada anggota parlimen Australia fakta berhubung perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mereka mendapat gambaran lebih jelas tentang perkara itu.

Najib berkata, langkah itu perlu memandangkan ada kemungkinan kumpulan berkenaan tidak mengetahui keadaan sebenar.

"Kami akan beri penjelasan dan berhubung dengan anggota parlimen Australia berkenaan. Wisma Putra akan mengendalikan perkara ini," katanya apabila ditanya tentang langkah yang diambil Malaysia berhubung perkara itu.

Najib berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan di Dewan Wawasan, Menara PGRM di Cheras, di sini hari ini.

Laporan menyebut bahawa lebih 50 anggota parlimen Australia menyuarakan bantahan secara formal bagi menggesa Malaysia menghentikan perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar.

Anggota kerajaan daripada Parti Buruh, Michael Danby menyerahkan nota bantahan berkenaan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Salman Ahmad di Canberra Jumaat lepas.

Turut hadir pada majlis rumah terbuka itu ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Najib dan Muhyiddin meluangkan masa lebih sejam pada majlis itu, yang dihadiri lebih 3,000 orang.

Tiada ulasan: