Rabu, 3 Februari 2010

UTM cipta alat elak pemandu tertidur

UTUSAN ONLINE

JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mencipta sebuah sistem peranti yang mampu mengelak para pemandu kenderaan daripada tertidur ketika memandu.

Peranti dikenali sebagai Smart Nap Alert System itu yang diletakkan pada telinga akan mengeluarkan isyarat bunyi apabila kepala pemandu tersengguk-sengguk akibat keletihan atau mengantuk.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UTM, Prof. Dr. Ruzairi Abdul Rahim yang mengetuai penyelidikan itu berkata, penggunaan peranti berkenaan dapat mengelak kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemandu yang tertidur.

Katanya, peranti itu juga dihasilkan berikutan kemalangan bas yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

"Projek ini merupakan inisiatif daripada kemalangan yang mengorbankan 10 penumpang bas di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Ipoh pada penghujung tahun lalu.

"Saya telah meminta pelajar mencipta alat yang boleh mengatasi masalah mengantuk ketika memandu dan dua pelajar iaitu Mohd. Hafiz Fazalul Rahiman dan Jaysuman Pusppanathan berjaya menghasilkan teknologi tersebut," ujarnya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di UTM di sini hari ini, beliau berkata, sistem tersebut menggunakan teknologi tanpa wayar sepenuhnya dan kos asasnya adalah RM200.

Bagaimanapun katanya, jika kemudahan itu dilengkapi modul GSM (sistem telefon bimbit) yang berkeupayaan untuk berkomunikasi melalui penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pihak berwajib, kosnya pula adalah RM800.

"Sasaran utama sistem peranti ini adalah untuk pemandu bas ekspres. Sistem peranti ini terbahagi kepada dua iaitu penderia yang dipasang di tepi telinga dan peranti kawalan yang dipasang dalam kenderaan.

"Penderia tersebut berfungsi untuk mengesan tahap kesedaran pemandu. Contohnya, kalau pemandu itu tersengguk kerana mengantuk, penderia itu akan menghantar isyarat kepada peranti kawalan dan dalam masa yang sama peranti kawalan akan membunyikan sistem penggera," jelasnya.

Setakat ini kata Ruzairi, pihaknya telah pun berbincang dengan beberapa syarikat untuk memasarkan sistem peranti tersebut secara komersial.

Katanya, walaupun sasaran sistem peranti itu untuk pemandu bas ekspres, ia juga sesuai digunakan oleh pemandu kereta persendirian.

Tiada ulasan: