Ahad, 28 Februari 2010

UMNO Perlu Ambil Tindakan Terhadap Ku Li - Puad Zarkashi

BERNAMA


BATU PAHAT: Umno perlu mengambil tindakan terhadap Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah kerana bersekongkol dengan parti-parti pembangkang di dalam isu royalti minyak Kelantan, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi.

Mohd Puad, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran dan Ketua Umno Bahagian Batu Pahat berkata, walaupun Tengku Razaleigh merupakan bekas "orang besar" di dalam Umno, tetapi ia tidak bermakna beliau perlu diberikan sebarang layanan istimewa.

"Umno perlu mengambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh. Beliau tidak sepatutnya diberikan sebarang layanan istimewa walaupun beliau pernah menjadi orang besar di dalam Umno suatu ketika dahulu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Puad berkata demikian sebagai mengulas tindakan anggota Parlimen Gua Musang yang bekerjasama serta terlibat di dalam siri ceramah anjuran parti-parti pembangkang di dalam isu royalti minyak Kelantan.

Majlis Tertinggi Umno di dalam mesyuaratnya minggu ini menyerahkan kepada anggotanya untuk menentukan bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap Tengku Razaleigh Hamzah itu.

Menurut Mohd Puad, Tengku Razaleigh sememangnya sengaja menggunakan platform parti pembangkang di dalam isu royalti minyak Kelantan kerana mahu memaksa Umno mengambil tindakan terhadapnya dan seterusnya menjadi hero di dalam isu itu.

"Tujuan beliau (terlibat di dalam siri ceramah pembangkang) itu adalah untuk mencabar parti (Umno) mengambil tindakan terhadap dan membolehkannya menjadi hero, " katanya.

Beliau berkata pandangan Tengku Razaleigh tentang isu royalti minyak Kelantan ketika ini juga adalah tidak konsisten dan berlainan sebagaimana ketika Anggota Parlimen Gua Musang itu memegang jawatan Menteri Kewangan suatu ketika dahulu.

Mengenai tindakan Tengku Razaleigh yang mahu mengadakan siri ceramah tentang isu itu, katanya Umno tidak perlu berasa bimbang kerana anggota Parlimen Gua Musang itu tidak mempunyai pengaruh yang besar, sebaliknya terpaksa bergantung kepada parti pembangkang.

Tiada ulasan: