Sabtu, 20 Februari 2010

“Umno Pahang, jelaskan sewa peralatan di UiTM Jengka” - Idris Ahmad

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : Umno Pahang didesak agar tampil membayar sewa ke atas program konvensyen mereka yang diadakan di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang hari ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat Idris Ahmad berkata, sehingga kini, sudah ada beberapa kes dilaporkan yang mana Umno menempah, menyewa dan mengunakan sesuatu kemudahan tetapi tidak dibayar dan kes itu dibawa ke mahkamah.

Kes-kes ini, katanya, tidak termasuk kes pengunaan fasiliti seperti Dewan orang ramai, tabika Kemas dan padang-padang awam yang sering digunakan Umno secara percuma selama ini.

"Oleh itu, Pas mahu pastikan Umno Pahang yang memufliskan negeri itu benar-benar membayar sewa fasiliti yang digunakan kerana kita tidak mahu apa yang berlaku pada Elegant Advisory Sdn Bhd dan vendor-vendor lain berlaku pada UiTM," tambah beliau.

Dalam kes di UiTM ini, kata Idris, Pas menempelak Umno yang memberi penjelasan bahawa mereka akan bayar segala kos selepas habis konvensyen itu.

"Ini kerana, pada amalan kebiasaannya, bila mana-mana agensi mengunakan prasarana kampus itu, mereka kena membuat bayaran pendahuluan terlebih dahulu.

UiTM... berapa bayaran yang diterima daripada Umno Pahang?


"Kami desak UiTM jelaskan berapakah bayaran yang mereka terima daripada Umno dan kami mahu UiTM beri jaminan untuk beri hak yang sama kepada organisasi lain termasuk parti politik bukan Umno yang berhasrat menyewa prasarana kampus itu pada masa hadapan tanpa sebarang kekangan," kata Idris.

Terdahulu, dalam kenyataan sebelum ini, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang, Kamarul Hatta berkata, Umno Pahang berhasrat mengadakan konvensyen peringkat negeri di UiTM kampus Jengka hari ini.

Kamarul berkata, sikap Umno Pahang itu seolah-olah cuba menyerap unsur politik kepartian dengan membuat konvensyen di peringkat negeri dalam kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkenaan pada bulan ini.

Umno tidak faham Akta 174 UiTM


"Kami kesal dengan kejahilan Umno yang mengaku bahawa mereka tidak tahu tindakan mereka mengadakan program politik dalam kawasan Universiti Teknologi Mara, (UiTM) Jengka, Pahang itu bertentangan dengan Akta 174 UiTM.

"Umno sepatutnya bertanggungjawab dan melihat akta itu kerana mereka yang menciptanya sebelum ini hingga memisahkan masyarakat kampus dari dunia politik.

"Mereka sendiri yang mencipta perundangan yang menghalang fasiliti dan segala apa yang ada dalam kampus itu untuk digunakan bagi tujuan politik kecuali dengan kebenaran menteri yang mana menterinya juga adalah ahli Umno," kata Idris lagi.

Tambah Idris, kejahilan Umno Pahang ini amat mendukacitakan kerana mereka memperlakukan harta kerajaan seperti harta keluarga mereka.

"Orang lain tidak boleh guna (prasarana kampus), tetapi mereka dengan senang-lenang menggubal akta itu yang akhirnya membolehkan mereka sahaja mengunakannya," tambah Idris lagi.

Tiada ulasan: