Khamis, 18 Februari 2010

Umno jahil amalan Demokrasi Berparlimen negara Komanwel

Oleh Roziyah Mahamad


KUALA LUMPUR : Umno dan barisan pemudanya sekali lagi menunjukkan kejahilan mereka terhadap fungsi sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan oleh negara-negara komenwel termasuk Malaysia dan Australia dengan mengadakan demontrasi di hadapan Pejabat Pesuruhjaya Tertinggi Australia ke Malaysia baru-baru ini.

Menurut Adun Kampung Tunku, Lau Weng San dalam sistem demokrasi berparlimen, Jawatankuasa Kecil atau Jawatankuasa Parlimen (Parliament Select Committee) merupakan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Parlimen dan dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen sendiri yang tidak memegang apa-apa portfolio dan jawatan di dalam pentadbiran kerajaan atau eksekutif.

"Selalunya, jawatankuasa-jawatankuasa ini ditubuhkan berdasarkan isu-isu atau portfolio-portfolio pentadbiran sesebuah kerajaan itu dan berfungsi sebagai satu cabang untuk memantau dasar dan pelaksanaan dasar oleh eksekutif selaras dengan semangat pengasingan kuasa antara legislatif (parlimen), eksekutif (pentadbiran) dan judisiari (kehakiman)," jelas Lau Weng San dalam kenyataan media yang dihantar kepada Era pakatan. com.

Malah menurut beliau, dalam sistem demokrasi berparlimen yang matang, jawatankuasa ini juga bertanggungjawab untuk meneliti sesuatu akta yang dibentangkan oleh eksekutif sebelum ianya diluluskan oleh Parlimen.

Oleh itu, dalam sistem demokrasi berparlimen yang matang, adalah tidak ganjil jikalau parlimennya mempunyai berpuluh-puluh jawatankuasa sebegini. Maka berdasarkan prinsip ini juga, Jawatankuasa Pilihan tentang Hal Ehwal Luar Negara juga ditubuhkan oleh Parlimen.

"Tugas mereka termasuk menilai dan menegur dasar-dasar luar negeri yang diamalkan oleh kerajaan. Apa yang dilakukan oleh ahli-ahli Parlimen dari Australia dan Amerika Syarikat ini merupakan tugas mereka sebagai Ahli dan Pengerusi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas/ Kecil parlimen mereka tentang hal ehwal luar negeri," tegas beliau.

Beliau berkata, walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan mewarisi tradisi parlimen ala-Westminster, Malaysia jarang-jarang menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk memantau hal ehwal pentadbiran kerajaan.

"Apa yang pernah dilakukan oleh Parlimen Malaysia yang berkaitan dengan hal ehawal luar negeri ialah penubuhan Kokus Parlimen Malaysia terhadap Myanmar dengan tujuannya untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut politik di Myanmar dan adalah tidak tepat jikalau hendak dikatakan bahawa Malaysia mengamalkan dasar tidak campur tangan di mana dalam kes Myanmar ini, terbukti bahawa Malaysia pernah melakukan sesuatu di peringkat Parlimen terhadap Myanmar.

"Adakah ini dituduh sebagai mencampuri hal ehwal sesebuah Negara berdaulat? Jika ya, maka Malaysia juga pernah melakukannya dan tindakan Malaysia menubuhkan Kokus Parlimen Malaysia terhadap Myanmar adalah betul kerana keadaan Myanmar yang tidak stabil telah mengugat kestabilan politik serta ekonomi serantau," kata Lau Weng San lagi.

Justeru itu, beliau menyeru Pemuda Umno dan pertubuhan-pertubuhan lain yang menyertai telah menyertai demonstrasi untuk meneliti fakta-fakta sejarah yang saya terangkan di atas agar tidak tertembak sendiri.

Terdahulu, Pemuda Umno dan beberapa pertubuhan lain telah mengadakan demontrasi berikutan lebih 50 Ahli Parlimen Australia yang telah membuat desakan supaya menggugur pertuduhan konspirasi kedua terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiada ulasan: