Ahad, 14 Februari 2010

Umno dijangka batal 600,000 keahlian

BERITA MINGGU


KUALA LUMPUR: Proses mengemas kini daftar keahlian Umno yang selesai April ini dijangka membatalkan antara 400,000 hingga 600,000 nama daripada senarai 3.4 juta ahlinya membabitkan pelbagai peringkat dan kategori.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abd Rauf Yusuf, berkata menerusi proses pembersihan itu, senarai terbabit dipamerkan 21 hari di 191 bahagian di seluruh negara.

“Jumlah ahli yang akan dikeluarkan daripada senarai induk keahlian itu membabitkan ahli yang meninggal dunia, ahli tidak aktif dan sebilangan ahli yang menyokong pembangkang secara terbuka.

“Bagaimanapun, jika ada ahli masih aktif tetapi namanya tidak tersenarai, mereka masih boleh mendaftar semula,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno memaklumkan proses mengemas kini daftar keahlian berakhir apabila senarai ahli diserahkan ke ibu pejabat Umno April ini selepas melalui beberapa peringkat tapisan.

Abd Rauf berkata, berdasarkan angka terbaru ahli Umno, ibu pejabat parti itu akan lebih fokus dalam melaksanakan sebarang perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk manfaat ahli.

“Perjalanan parti pasti tidak akan tersasar jika kita lebih tahu mengenai bilangan ahli di setiap cawangan dan bahagian,” katanya.

Beliau berkata, pengesahan keahlian parti itu juga akan membolehkan Umno bergerak dengan lebih sistematik dan dapat memastikan ahli mendapat pelbagai kebaikan menerusi penganjuran pelbagai program.

Tiada ulasan: