Jumaat, 26 Februari 2010

Tumpu program diploma

Oleh HELMI MOHD. FOAD


PUTRAJAYA - Semua politeknik tidak akan lagi menawarkan pengajian peringkat sijil mulai sesi pengambilan Julai ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini bagi membolehkan politeknik menumpukan program diploma dan kelayakan lebih tinggi termasuk diploma lanjutan.

Menurutnya, langkah itu membolehkan bilangan pengambilan pelajar diploma ditingkatkan daripada 60,840 orang pada tahun lalu kepada 87,440 pada 2012 iaitu tambahan sebanyak 30 peratus.

''Atas usaha ini peluang kemasukan kepada program pengajian yang akan memberikan nilai tambah lebih tinggi kepada graduan politeknik akan dilaksanakan.

''Ini untuk meningkatkan serta meluaskan akses kepada pengajian politeknik yang lebih berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Transformasi Politeknik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dihadiri dua Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Dr. Hou Kok Chung.

Ketika ini terdapat 27 buah politeknik di seluruh negara.

Sejak ditubuhkan pada 1969, politeknik melahirkan lebih 300,000 graduan dalam pelbagai bidang kejuruteraan, teknologi, perdagangan dan perkhidmatan.

Mohamed Khaled berkata, ketika ini terdapat 90,000 permohonan bagi melanjutkan pelajaran ke politeknik tetapi bilangan tempat sedia ada tidak mencukupi.

Justeru, kata beliau, politeknik akan dapat meningkatkan pengambilan sehingga 45,000 orang setahun iaitu pertambahan 15,000 orang apabila pengambilan peringkat sijil ditiadakan.

Katanya, tawaran pengajian peringkat sijil selepas ini akan diserahkan kepada institusi lain seperti Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK).

''Dengan hanya menawarkan diploma, ia akan memberikan nilai tambah kepada politeknik iaitu suatu perubahan yang tidak memerlukan peruntukan," katanya.

Mengenai usaha menaik taraf Politeknik Premier, beliau berkata, selain dapat menjalankan program pada peringkat lebih tinggi, ia juga membuka ruang kepada penawaran program kepada pelajar antarabangsa.

Ini, kata beliau, bagi memenuhi sasaran pengambilan pelajar politeknik kepada 119,000 orang menjelang 2015.

Tiada ulasan: