Rabu, 10 Februari 2010

Tengku Fakhry serah penghakiman melalui kedutaan

Abdul Rahim Sabri



Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra hari ini menyerahkan tiga penghakiman Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu dan mahkamah sivil Kuala Lumpur, kepada isterinya Manohara Odelia Pinot melalui Kedutaan Indonesia.

Ia diserahkan oleh para peguamnya kepada pihak kedutaan tersebut untuk disampaikan kepada Manohara dan ibunya, Daisy Farajina yang berada di republik itu.

Peguam Zainul Rijal Abu Bakar berkata penghakiman pertama berkaitan dengan perintah Mahkamah Tinggi Syariah supaya Manohara kembali taat kepada suaminya.

"Kedua, Manohara (diperintahkan) membayar hutang sejumlah lebih RM1 juta, dan yang ketiga penghakiman engkar di mahkamah sivil di Kuala Lumpur, atas alasan Manohara dan ibunya Daisy Fajarina memfitnah Tengku Temenggong," kata Zainul Rijal dalam satu sidang media.

Penghakiman tersebut telah disampaikan oleh Zainul Rijal kepada Konsular Indonesia, Aminuddin Panjaitan di pejabatnya di Kedutaan Indonesia, kira-kira jam 4 petang ini.

Zainul Rijal juga memberitahu pemberita bahawa pihaknya juga telah menyampaikan penghakiman yang sama kepada kedutaan Amerika kerana bapa Manohara juga adalah warganegara tersebut.

Dua lagi peguam Tengku Fakhry (kanan) yang turut sama ialah Mohd Haaziq Pillay dan Abdul Halim Bahari.

Sementara itu, kaunselor bahagian informasi, sosial dan kebudayaan kedutaan tersebut, Widyarka Ryananta berkata, pihaknya akan membantu menyerahkan penghakiman mengikut saluran diplomasi.

Tiada ulasan: