Jumaat, 5 Februari 2010

Tawaran khusus kepada Hassan Merican

BERNAMA


MELAKA — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau telah mengemukakan tawaran khusus kepada Tan Sri Hassan Merican , yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam industri petroleum, untuk memberi sumbangan khidmat kepada kerajaan dan negara selepas tidak lagi menerajui Petronas.

Perdana Menteri berkata, Hassan sedang memikirkan tawaran itu.

"Saya ada berbincang dengan beliau (Hassan), apa beliau boleh sumbang pada kerajaan dan negara," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di sekitar bandar Melaka hari ini.

Najib berkata, Hassan memerlukan sedikit masa untuk mempertimbangkan tawaran itu kerana mahu berehat dan mengendalikan urusan peribadinya.

Ditanya apakah jawatan yang akan diberikan kepada Hassan, Najib berkata:

"Nantilah dulu. Perbincangan sedang berjalan."

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MISC Bhd Datuk Shamsul Azhar Abbas diumumkan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas yang baru berkuat kuasa 10 Februari ini.

Shamsul Azhar menggantikan Hassan yang tamat tempoh kontrak perkhidmatannya pada 9 Februari ini.

Hassan mula berkhidmat dengan Petronas sejak 1989 sebagai Naib Presiden Kanan Kewangan sebelum dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pada 1995.

Beliau kemudiannya menyandang jawatan Pemangku Pengerusi pada 2004 hingga sekarang.

Tiada ulasan: