Khamis, 11 Februari 2010

Tapak Eye On Malaysia jadi satu lagi kesan 'sejarah'

Harakahdaily


MELAKA: Kesan 'sejarah' tapak Eye On Malaysia (EOM) sudah tentu akan dikenang sampai bila-bila kerana di situlah sebanyak RM8 juta duit rakyat Melaka hangus disebabkan kelemahan dan kelalaian kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

“Insya Allah jika tidak ada aral melintang satu lagi kesan sejarah dijumpai di Melaka iaitu tapak Eye On Malaysia,” kata Ketua Penerangan PAS negeri, Sofi Wahab.

Tambahnya, EOM yang di pindahkan ke Melaka pada tahun 2008 dahulu diarah sita oleh mahkamah beberapa minggu lalu kerana kegagalan syarikat tersebut membayar hutang kepada pemilik asalnya iaitu syarikat dari Belgium, Fitraco NV.

Katanya, pada 8 Februari lalu sejarah tercipta lagi apabila MST Ad Suria Sdn Bhd (syarikat usahasama agensi kerajaan negeri) diperintahkan membayar kos RM35,000 dan defendan kedua, EOM Sdn Bhd membayar RM10,000 kepada Fitraco NV.

Syarikat dari Belgium itu juga dibenarkan memindah keluar roda gergasi EOM dan boleh memasuki tanah milik syarikat Eye On Malaysia Sdn Bhd dan mahkamah juga memerintahkan tanah itu dibaikpulih seperti sedia kala selepas roda itu dibuka.

“Ini bermakna roda gergasi, Eye On Malaysia dan tapaknya itu akan hanya tinggal nama dan menjadi bahan sejarah, mungkin ianya boleh dimasukkan sebagai destinasi pelancongan terbaru Melaka,” ujarnya.

Katanya, rakyat amat kesal dengan kerajaan negeri yang terbukti lemah dan lembap dalam membuat perancangan memulakan sesuatu program dan dan projek sehingga menyebabkan duit rakyat hangus begitu sahaja.

“Di saat Melaka dikatakan Maju 2010, Eye On Malaysia terpaksa diserahkan kepada pemiik asalnya. Siapa yang malu dan siapa sebenarnya yang bersalah dalam hal ini.

“Sejak dari awal lagi PAS sudah menjangkakan ini adalah projek membazir, duit rakyat hangus begitu sahaja,” ujarnya.

Tiada ulasan: