Rabu, 10 Februari 2010

Syor usia 21 tahun automatik jadi pengundi

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang mewajibkan warga negara berusia 21 tahun ke atas menjadi pengundi berdaftar secara automatik dan dikenakan tindakan jika tidak mengundi pada pilihan raya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata langkah itu perlu berikutan lebih 4.38 juta atau 28.3 peratus daripada kira-kira 15.4 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Malah, beliau berkata, jumlah mereka yang tidak berdaftar dijangka terus meningkat berikutan secara purata hampir 500,000 rakyat Malaysia mencapai berusia 21 tahun setiap tahun.

Katanya, pendaftaran pengundi secara automatik itu akan dibuat berdasarkan alamat tempat kelahiran mereka di dalam kad pengenalan.

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah itu memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan kerana ia menimbulkan pelbagai persoalan dan orang ramai akan menuduh SPR mengamalkan autokratik dan paksaan.

Ditemui di pejabatnya, semalam, Abdul Aziz berkata, walaupun proses pendaftaran dilaksanakan sepanjang masa menerusi 696 pejabat pos, kaunter bergerak SPR dan lebih 2,200 penolong pendaftar pemilih yang dilantik mewakili parti politik, kesedaran di kalangan rakyat Malaysia masih rendah kerana mendaftar sebagai pengundi bukanlah sesuatu yang mandatori.

Sebelum ini, SPR mendedahkan kira-kira 65 peratus atau 2.85 juta daripada 4.38 juta rakyat negara ini berusia 21 tahun ke atas yang tidak mendaftar sebagai pengundi adalah Bumiputera.

Jumlah itu diperoleh selepas SPR membuat pemadanan dengan data penduduk berusia 21 tahun ke atas yang dimiliki Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah pengundi tidak berdaftar paling tinggi iaitu 787,500 diikuti Johor (604,00), Perak (526,000), Sarawak (473,000), Kuala Lumpur (351,000), Kedah (317,000) dan Sabah (280,000).

Ini diikuti Kelantan (247,000), Pulau Pinang (217,000), Pahang (200,000), Negeri Sembilan (154,000), Melaka (95,000), Terengganu (82,000), Perlis (32,000), Labuan (11,500) dan Putrajaya (7,200).

Abdul Aziz berkata, SPR mengenal pasti sikap sambil lewa atau tidak memberi keutamaan sebagai pengundi menjadi punca utama perkara ini berlaku, tetapi keadaan berubah menjelang setiap pilihan raya umum apabila SPR terpaksa memproses lebih satu juta permohonan dalam tempoh setahun sebelum pilihan raya diadakan.

"Justeru, SPR meminta semua pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan penduduk supaya membantu usaha meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat untuk mendaftar sebagai pengundi," katanya.

Tiada ulasan: