Selasa, 16 Februari 2010

Syor Hari Pejuang Bahasa setiap tahun

Oleh Mohd Ali Bakri


KUALA LUMPUR : Hari Pejuang Bahasa hari ini disyorkan sebagai acara tahunan yang diraikan pada 15 Februari seiring dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan ke atas jasa para pejuang bahasa yang memberi sumbangan ke atas pembinaan negara bangsa.

Hal tersebut telah diperjelaskan semasa pembacaan resolusi ketika penutupan acara Hari Pejuang Bahasa 152 yang diadakan di sini sebagai usaha menyegarkan semangat juang kepada generasi baharu.

Resolusi mengenai perisytiharan Hari Pejuang Bahasa itu dibacakan bersama Gapena, Kalam, Pena bersama sekitar 21 buah badan kerajaan dan badan bukan kerajaan dan swasta di sini, hari ini.

"Saya berasakan sambutan Hari Pejuang Bahasa 152 ini memberi makna yang cukup besar bukan sahaja kepada pejuang bahasa, tetapi juga kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia, bahawa soal bahasa bukan soal komunikasi semata-mata, tetapi ia menyangkut peradaban bangsa kita," kata Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Wira Kamaruddin Siaraf.

Resolusi itu turut menyatakan bahawa acara sambutan itu boleh dilanjutkan melalui satu peruntukan khas dalam bentuk tabung yang diluluskan oleh pihak kerajaan.

"Jawatankuasa Hari Pejuang Bahasa 152 pada pelaksanaan tahun 2010 harus dikekalkan dan dimantapkan untuk pelaksanaan dan pemantauan Hari Pejuang Bahasa 152 pada tahun-tahun mendatang dengan menggunakan dana daripada Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera," kenyataan itu dipetik sebagai berkata.

Tiada ulasan: