Selasa, 16 Februari 2010

Shafie: Tiada bayangan Zahrain akan kembali ke Umno

MALAYSIAN INSIDER


KOTA KINABALU — Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata belum ada tanda-tanda bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Zahrain Hashim akan kembali ke Umno selepas memutuskan untuk keluar parti itu, Jumaat lalu.

“Setahu saya, Zahrain memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas di kawasan pilihan rayanya (Bayan Baru). Tiada sebarang tanda bahawa beliau akan menyertai Umno atau mana-mana parti komponen BN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga berkata masalah yang membelenggu pembangkang khususnya PKR sekarang tidak kena-mengena dengan Umno.

“Jelas bahawa apa yang berlaku dalam parti itu disebabkan masalah yang membelenggu mereka. Ia tiada kena mengena dengan kita (Umno),” kata Shafie dipetik Bernama sambil menambah Umno tidak pernah mempengaruhi anggota pembangkang supaya meninggalkan parti mereka.

Zahrain merupakan salah seorang bekas ketua Umno Bahagian yang keluar parti itu lebih satu dekad yang lalu untuk menyertai PKR yang dahulunya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional.

Beliau memenangi kerusi Bayan Baru pada 8 Mac 2008.

Banyak pihak dalam Umno mengajaknya menyertai Umno ekoran keputusannya meninggalkan PKR minggu lalu.

Shafie berkata, Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain hanya perlu bekerja untuk rakyat dan bukannya membangkitkan dilema yang kini dihadapi oleh pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata “keadaan rapuh” dalam kalangan PKR dan pakatan pembangkang bukanlah urusan Umno.

“Adalah penting untuk kita menyampaikan... memberi khidmat terbaik kita kepada rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan kita.

“Dengan cara itu, rakyat akan tahu bahawa kita adalah kerajaan yang mengambil berat kebajikan mereka, pemimpin rakyat yang boleh dipercayai dan dapat memberi khidmat terbaik tanpa perlu memberitahu mereka bahawa pembangkang tidak boleh dipercayai,” kata beliau selepas menghadiri jamuan malam sempena Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sabah (FCAS) di sini malam tadi.

Tiada ulasan: