Khamis, 18 Februari 2010

Setiausaha politik menteri bebas dengan ikat jamin RM50,000

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR- Seorang setiausaha politik kepada seorang menteri yang ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Khamis lepas dibebaskan hari ini dengan wang jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

SPRM, dalam kenyataan, berkata, suspek berkenaan dibebaskan selepas percakapannya dirakamkan serta sebuah kenderaan dan sejumlah wang turut disita bagi membantu siasatan.

Pada 11 Februari lepas, SPRM telah menahan setiausaha politik berkenaan di Pulau Pinang kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Isnin lepas, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan memaklumkan Hasbie Satar, setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah meletakkan jawatan berkuatkuasa Ahad lalu.

Kenyataan satu perenggan itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.

Tiada ulasan: