Isnin, 8 Februari 2010

Seludup pasir: 3 penjawat awam didakwa rasuah

BERNAMA



Tiga penjawat awam, secara berasingan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah, masing-masing sebanyak RM2,000, RM4,000 dan RM1,900, membabitkan kes penyeludupan pasir.

Pegawai Kastam Suhaimi Abdul Wahab, 36, Abdul Ghani Hitam, 37, dari Jabatan Tanah dan Galian Johor dan Md Noor Md Yatim, 54, dari Cawangan Khidmat Sokongan Marin di Tanjung Surat, Kota Tinggi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Suhaimi dari cawangan eksport Jabatan Kastam di Kompleks Sultan Abu Bakar di Gelang Patah, didakwa menerima RM2,000 daripada Sendry Ugi, 34, di sebuah bilik di Hotel Grand Blue Wave di Johor Bahru pada jam 5.20 petang, 28 Mei tahun lalu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lima buah lori yang menyeludup pasir ke Singapura.

Abdul Ghani, dari Jabatan Tanah dan Galian Kota Tinggi didakwa menerima RM500 dikatakan bagi pihak Ali Hafiz Naimat, 26, daripada Zacharias Kho di sebuah bilik di hotel yang sama pada jam 8.45 petang, 10 September tahun lalu sebagai balasan bagi mempercepatkan pemprosesan permohonan Lesen Pendudukan Sementara sebidang tanah di Sungai Lebam in Pengerang, Kota Tinggi.

Tanah itu dikatakan digunakan untuk kegiatan menggali pasir.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan jaminan RM5,000 dan seorang penjamin bagi kedua-dua tertuduh dan 8 Mac bagi sebutan semula kes itu.

Di Mahkamah Sesyen lain, Abdul Ghani menghadapi dua lagi tuduhan iaitu menerima suapan berjumlah RM1,400 daripada Kho untuk tujuan yang sama di SDS Cake House Sdn Bhd, Kota Tinggi pada 23 Jun, 2009 dan di Hotel Grand Blue Wave pada 15 Oktober tahun lalu.

Md Noor pula didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada Wong Yun Fui, 32, di hotel yang sama 6.40 petang, 9 September lalu, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kapal yang membawa pasir yang digunakan oleh Ong Chee Boon, 40.

Dia juga didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,000 lagi daripada Wong di Maybank Berhad di Taman Tiram Baru, Ulu Tiram, jam 8.30 malam, 18 Januari tahun ini bagi tujuan yang sama.

Hakim Aliman Musri menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 untuk Abdul Ghani dan menetapkan 8 Mac bagi sebutan semula kes manakala ikat jamin RM8,000 bagi Md Noor dan menetapkan 26 April bagi sebutan semula kes.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh membayar ikat jamin masing-masing.

Tiada ulasan: