Selasa, 16 Februari 2010

“Saya ahli PKR, kini, esok, lusa dan tak tahu bila…” - Tan Tee Beng

Oleh Mohd Ali Bakri


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng menafikan beliau akan melompat keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang didakwa oleh sesetengah media sejak kebelakangan ini.

''Perkara sedemikian tidak pernah timbul atau terlintas dalam fikiran saya walaupun dengan lantang mengkritik pemerintahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan saya juga akan terus berbuat demikian.

''Saya masih ahli PKR hari ini, esok, lusa dan tak tahu bila,'' katanya dalam majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebuah laporan polis akan dibuat ke atas Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy dan Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri, Jeff Ooi dalam masa terdekat.

Tambah beliau, hal itu dilakukan ekoran kegagalan kedua-dua mereka hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang Jumaat lalu bersama bukti bagi menyokong dakwaan dirinya terlibat dalam proses tender Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC).

Malah, katanya, laporan polis akan dibuat bukan sahaja terhadap Ramasamy dan Jeff Ooi tetapi mana-mana pihak yang membuat tuduhan serta fitnah sekali gus mencemar nama baik beliau sebagai wakil rakyat.

''Saya sudah beri kedua-dua orang ini masa yang secukupnya untuk membuktikan dakwaan mereka, malah saya turut menunggu mereka di pejabat SPRM tapi tidak juga muncul.

''Jadi, saya sudah tidak ada jalan lain selain membuat laporan polis terhadap Ramasamy dan Jeff Ooi," katanya

Pada 11 Februari lalu, Tee Beng mencabar Ramasamy dan Jeff Ooi mengemukakan bukti bahawa dirinya terlibat dalam proses tender PDC dan mengajak kedua-dua pemimpin DAP itu membawa bersama 'bukti' ke pejabat SPRM pada pukul 4 petang.

Namun, selepas menunggu sehingga hampir pukul 6 petang, kedua-dua mereka tidak juga muncul dan beliau menyifatkan Ramasamy dan Jeff Ooi sebagai pengecut.

Tiada ulasan: