Jumaat, 26 Februari 2010

Samun Di Kota Damansara Didalangi Kumpulan Sama

BERNAMA

PETALING JAYA: Kumpulan samun yang sama dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di Kota Damansara, di sini sejak beberapa minggu yang lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kumpulan itu yang didalangi oleh rakyat tempatan dan warga asing telah menggunakan modus operandi yang hampir sama ketika menyamun mangsa, termasuk kanak-kanak, di waktu malam dan awal pagi.

Beliau berkata, bagi kawasan Seksyen 8, Kota Damansara, polis telah menerima empat laporan kes untuk bulan ini sahaja, dan pihak polis sedang menjejaki mereka yang terlibat dan mengambil tindakan bagi mengurangkan jenayah di kawasan itu.

"Kita jangkakan mereka tinggal di kawasan berhampiran ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog dengan penduduk Seksyen 8, Kota Damansara hari ini.

Kes samun bersenjata yang terbaru berlaku di kawasan berkenaan adalah pada Rabu lepas di mana seorang penulis kerugian kira-kira RM40,000 apabila tiga lelaki melarikan kunci kereta, barangan kemas, wang tunai dan dua komputer riba miliknya dan keluarganya setelah memasuki rumahnya semasa beliau dan rakan-rakannya sedang berbual di laman rumah.

Pada majlis dialog itu, Arjunaidi yang menasihatkan penduduk untuk segera menghubungi polis jika terlihat mana-mana individu yang mencurigakan berkata kerjasama masyarakat setempat penting bagi membantu pihak polis mengurangkan jenayah di kawasan mereka.

Tiada ulasan: