Rabu, 10 Februari 2010

Saksi pertama kes ugutan Ahmad Ramzi beri keterangan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, semalam memanggil Koperal Zulbahari Abdul Manan sebagai saksi pertama kes perbicaraan Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, yang menghadapi empat pertuduhan melakukan ugutan jenayah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) tahun lalu.

Anggota polis Cawangan Jenayah, Stor Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu itu hadir memberi keterangan berhubung 37 barang kes diterimanya daripada pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Hadzwan Zulkefle pada 30 April tahun lalu.

Dalam keterangannya di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, Zulbahari berkata, dia diarahkan pegawai penyiasat untuk mendaftar barang kes iaitu telefon bimbit dan peralatan komputer.

Beliau berkata, empat daripada 37 barang kes terbabit sudah dikembalikan kepada pemiliknya mengikut Seksyen 413 Kanun Tatacara Jenayah.

Pihak pendakwaan diwakili Shahidani Abd Aziz, Norazimon Azumi dan Ooi Choo Geok, manakala pembelaan diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman.

Perbicaraan bersambung semula hari ini dengan Zulbahari selaku saksi pertama daripada keseluruhan 22 saksi menyambung keterangannya.

Ahmad Ramzi yang bertanding kerusi Parlimen Marang pada pilihan raya umum ke-12 Mac 2008, sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan ugutan jenayah pada 4 Jun tahun lalu dan diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Ramzi dituduh melakukan ugutan jenayah dengan mengancam mendatangkan kematian kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Mohd Ariffin Abdullah dengan niat menyebabkan kegentaran kepadanya di Kampung Kubang Parit, di sini, jam 11.20 malam, pada 13 April lalu.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid dan Adun Permaisuri, Abd Halim Jusoh di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda.

Tertuduh juga dituduh memfitnah bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Wan Ahamad Wan Muda apabila menghantar SMS mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam mahu mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abd Halim dan Rosol melalui laman web.

Ia dilakukan menggunakan nombor telefon bimbit Wan Ahamad antara jam 11.21 malam dan 11.25 malam pada tarikh dan tempat sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Tiada ulasan: