Ahad, 7 Februari 2010

Saksi ke-11 kes 5 peguam ditahan persoal prosiding

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Saksi ke-11 dalam siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung penangkapan lima peguam, semalam mempersoalkan cara pengendalian prosiding.

Superintendan Judy Pereira, yang ketika kejadian itu adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields, berkata peguam M Puravelan menyoalnya bagaikan perbicaraan di mahkamah, sedangkan beliau hanya berperanan membantu Suhakam dalam membuat keputusan.

Pereira, yang kini Superintendan Bahagian Kajian Perundangan Bukit Aman, berkata siasatan awam (inkuiri) adalah berbeza dan beliau memohon pihak yang mengendalikannya sensitif dengan situasi itu.

Bagaimanapun, pengerusi siasatan awam itu, Datuk Muhammad Shafee Abdullah, berkata pihaknya sedar mengenai perkara itu tetapi sehingga kini soalan yang dikemukakan mempunyai kaitan dan tiada yang melampaui daripada yang sepatutnya.

Sejak awal prosiding, Puravelan yang mewakili lima peguam yang ditangkap mengemukakan soalan dalam nada tegang dan kerap mempersoalkan kembali jawapan Pereira.

Dalam keterangannya, Pereira berkata arahan penangkapan pada ketika itu bukan dibuat atas tujuan menangkap peguam tetapi menangkap mereka yang enggan bersurai dalam perhimpunan haram.

“Saya tidak tahu mereka ketika berhimpun di luar pagar. Mereka masih muda. Nampak macam masih sekolah, tidak seperti peguam,” katanya.

Pereira berkata, keadaan balai ketika itu kelam kabut dan beliau mengakui telah mencadangkan penggunaan Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah yang menafikan hak tangkapan untuk mendapatkan khidmat peguam, ke atas lima peguam pada hari kejadian.

Beliau yang ditanya sama ada seksyen itu boleh diguna pakai pada keadaan itu dan bagaimana beliau mengetahuinya, Pereira menjawab: “Ya. Ia sesuai digunakan. Saya mempunyai pengetahuan undang-undang.”

Sementara itu saksi ke-21, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata beliau mengeluarkan perintah tangkapan setelah mendapati keadaan tidak terkawal dan mereka yang berhimpun enggan meninggalkan kawasan balai polis.

Wan Bari berkata, Pereira telah memaklumkan kepadanya keadaan ketika itu sememangnya tidak mengizinkan ekoran tiada kerjasama daripada mereka yang berhimpun dan ada antaranya bertindak agresif.

Inkuiri yang diadakan di Menara Tun Razak, akan disambung hari ini.

Lima peguam yang ditahan ialah Puspawati Rosman, Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Ravinder Singh Dhalliwal dan Syuhaini Safwan. Mereka ditangkap kerana menghadiri perhimpunan di luar balai polis Brickfields pada 7 Mei tahun lalu antara jam 9.25 malam dan 9.30 malam, rentetan daripada perhimpunan sehari sebelumnya yang memprotes penahanan seorang penulis blog, Wong Chin Huat, di balai berkenaan. Kesemua peguam itu mendakwa mereka berada di situ untuk mewakili pihak yang ditangkap terdahulu.

Tiada ulasan: