Isnin, 15 Februari 2010

Sabah mohon RM200j untuk aspal lebuhraya Sapulut-Kalabakan

SABAH DAILY

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah memohon peruntukan sebanyak RM200 juta daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai projek pengaspalan lebuh raya Sapulut-Kalabakan, yang dijangka akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Pengarah JKR Sabah Ir. John Anthony berkata, cadangan untuk mengaspal jalan berkenaan telah dimasukkan dalam RMK-10 dan diharap peruntukan untuk tujuan itu dapat dipertimbangkan.

“Kita jangka kelulusan untuk projek pengaspalan itu diperolehi tahun ini,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status terbaru projek lebuh raya Sapulut-Kalabakan yang sebelum ini dipersoalkan oleh pelbagai pihak berikutan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008 yang dikeluarkan pada 20 Oktober, tahun lepas.

Menurut laporan itu projek pembinaan jalan Sapulut-Kalabakan didapati tidak mencapai objektifnya iaitu membina jalan bertar atau berturap yang menghubungkan pekan Sapulut di Keningau dengan Kalabakan di Tawau.

Sebaliknya, hanya jalan ‘gravel’ yang dibina dalam projek yang melibatkan peruntukan RM563 juta itu. Audit mendapati kerja penyiasatan tanah tidak dilaksanakan dengan sempurna mengakibatkan banyak bahan yang tidak sesuai seperti batang balak digunakan untuk membuat jalan oleh syarikat konsesi pembalakan tidak dapat dikesan.

John berkata pihak berkenaan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Ada perkara yang kita tidak dapat ramalkan telah berlaku walaupun kita buat beberapa ujian keadaan tanah di sepanjang jalan itu,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Katanya, lebuh raya itu merentasi sekurang-kurangnya 81 peratus kawasan tanah simpanan yang sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran pembinaannya.

John berkata dengan siapnya kerja pengaspalan lebuh raya itu, ia akan melengkapkan jalan berturap mengelilingi Sabah.

“Pengguna jalan raya (dari Kota Kinabalu) akan mempunyai alternatif untuk sampai ke Tawau (pantai timur Sabah) sama ada melalui jalan melalui Sandakan atau melalui Keningau dan seterusnya ke Kalabakan, Tawau,” katanya. -NST

Tiada ulasan: