Isnin, 8 Februari 2010

Sabah kekal pusat seludup manusia?

Oleh: JAMIL NASRAH & KREW SABAHKINI.NET


PENANGKAPAN 37 orang pendatang asing tanpa izin di atas Kumpit ML Menham di Pulau Berhala Sandakan setelah ‘belayar’ selama tiga hari daripada pelabuhan Barter Trade Sandakan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) pada 18 Januari lalu membuktikan bahawa Sabah akan mengekalkan gelaran Pusat Penyeludupan dan Pemerdagangan Manusia di Asia Tenggara.

Walaupun laporan polis dibuat oleh APMM iaitu SANDAKAN/RPT/866/2010 pada 18 Januari 2010 sebelum semua tahanan berkenaan diserahkan kepada mereka, namun Jabatan Imigresen dengan bangganya mengumumkan ‘No Case To Answer’ bagi semua tangkapan berkenaan yang mungkin telah dibebaskan pada saat ini.

Daripada risikan Sabahkini.net, kebanyakan Pati berkenaan mengakui mereka adalah isteri, ipar duai dan saudara mara kepada anggota polis atau gundik pegawai Jabatan Imigresen dan menyifatkan tangkapan berkenaan sebagai menyalakan api permusuhan antara dua jabatan yang selama ini bertelagah berhubung locus-standi, takrif dan modus operandi penangkapan.

Kesemua Pati yang tidak berdokumen ketika ditangkap di atas kumpit ML Menham berkenaan telah menjadi ‘berdokumen’ setelah ‘suspek’ bertukar tangan sinonim dengan usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersetuju menukar status saksi perbicaraan kepada defendan dalam satu kes perbicaraan di Mahkamah Tinggi Sandakan.

Keluarbiasaan tatakrama mentafsir Akta Imigresen ini sering kali berlaku di pejabat Imigresen Sandakan yang menjadi pintu masuk utama pati daripada Filipina yang disahkan sebagai ‘pelawat’ atau penduduk tempatan yang menggunakan surat lahir sebagai modus operandi membebaskan mereka kerana Kapten Neckson Mercado adalah ‘Agen Bertauliah’ yang menjadi ‘Orang Suruhan’ kepada ‘Kingpin’ kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang diketuai seorang yang berpangkat Tan Sri!

Baru sebentar tadi, Krew Sabahkini.Net di Sandakan mendapat maklumat bahawa Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Wang Poo Ching mengeluarkan arahan agar kumpit dan kesemua 37 pati yang ditahan APMM pada 18 Januari 2010 telah dilepas dan dibebaskan pada 25 Januari 2010!

Siapakah yang menjadikan Wang Poo Ching sebagai ‘Kambing Hitam’ dan mengambil alih tugas ‘Peguam Negara’ membebaskan kesemua 37 Pati yang ditahan dan menghapuskan bahan bukti iaitu kumpit ML Menham.

Amat malang bagi seorang pegawai kanan wanita yang terpaksa melakukan ‘Hara-Kiri’ (bunuh diri ala-Samurai dengan cara terhormat) dengan habuan RM500,000 ketika hampir sampai di kemuncak kerjaya.

Sabah yang kini mempunyai komposisi lebih dua pertiga warga asing termasuk yang mendapat kad pengenalan melalui pintu belakang dan IMM13 atau Pemastautin Tetap, mula menghadapi krisis identity yang serius kerana warga asing mudah masuk atau keluar tanpa sebarang sekatan dengan alasan ‘semangat setiakawan’ kejiranan bagi mempercepatkan proses BIMP-EAGA dan dimomokkan dengan pelbagai alasan birokrasi bagi kepentingan sesetengah pihak yang mengaut keuntungan di Barter Trade yang menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang negara.

Krew Sabahkini.net dan semua editor akhbar tempatan dan nasional di Sabah ‘diarah’ melakukan ‘media black-out’ berhubung tangkapan gula, minyak masak dan 37 pati di atas Kumpit ML Menham menunjukkan campurtangan seorang yang memegang ‘tongkat sakti’ yang berjaya melenyapkan bukti tanpa sebarang kesan.

Hanya Sabahkini.net yang berani mengambil risiko menyiarkan kejalangan enam daripada tujuh agensi penguatkuasa yang beroperasi dan mencari makan di Barter Trade Sandakan sejak lebih 40 tahun lalu.

APMM yang selama ini berselingkuh dengan gejala penagihan dan pengedaran dadah telah membersihkan najis ditubuh mereka kerana seringkali melakukan tangkapan demi tangkapan sehingga digelar ‘pengacau’ kerana perlakuan mereka diibaratkan seorang musafir menangkap awan dengan garfu untuk dijadikan hujan, sedangkan air paip berlimpah ruah.

Perkembangan dan pergolakan terbaru di selatan Filipina dijadikan ‘bom jangka’ yang akan diletupkan jika rakyat Sabah tidak terus menyokong kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional yang menjadikan Barter Trade sebagai senjata paling ampuh untuk mengukuhkan kedudukan dan ‘membiayai’ kegiatan keganasan yang menjadi ‘fixed deposit’ untuk mengugut pengundi pada pilihanraya akan datang.

Amalan ‘Catch’ oleh APMM dan ‘Release’ oleh Jabatan Imigresen sudah menjadi budaya di kalangan penguatkuasa undang-undang nusantara yang dibauri rasuah dan salahguna kuasa untuk kepentingan peribadi pemimpin dan membiayai kegiatan politik mereka seperti skrip dan plot filem Hindustan yang kini menjadi realiti di Malaysia.

Lebih menggemparkan, SPRM Sandakan enggan menyiasat jenayah yang dilakukan ‘Penjenayah Barter Trade’, sebaliknya berniat menyiasat daripada Sabahkini.net memperolehi segala dokumen bukti kejalangan agensi penguatkuasa seperti Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja, Jabatan Imigresen, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga, Jabatan Laut, Pasukan Gerak Marin dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK).

Tiada ulasan: