Selasa, 2 Februari 2010

Royalti: Rakyat akan tahu siapa pemimpin pengampu

Harakahdaily


KUALA TERENGGANU: Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) yakin suatu hari nanti rakyat dapat melihat siapakah sebenarnya pemimpin yang berjiwa besar dan pemimpin pengampu di negara kita berhubung tuntutan royalti minyak.

Sehubungan itu, pengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Samah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah memberikan penjelasan mengenai royalti yang telah dinafikan daripada Negeri Kelantan dan Terengganu.

Katanya, penjelasan daripada Ahli Parlimen Gua Musang itu amat bermakna terutamanya bagi rakyat yang prihatin dan bermaruah.

Mampat juga, ujarnya ingin menyatakan sepenuh sokongan atas ucapan dan penjelasan yang telah disampaikan oleh Tengku Razaleigh yang menyatakan bahawa Kelantan berhak mendapat royalti petroleum.

Kenyataan tersebut, katanya adalah mengulangi penegasan beliau semasa menghadiri Konvensyen Royalti Petroleum di Kuala Terengganu pada 14 Jun 2008 yang lalu di mana menurut beliau Terengganu berhak mendapat royalti sebanyak lima peratus daripada hasil petroleum.

“Jelas sekali bahawa royalti adalah hak rakyat yang sepatutnya disalurkan melalui kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, penggunaan saluran lain merupakan satu pencabulan kepada semangat federalisma dan menafikan sistem demokrasi dan undi rakyat.
Menurutnya, Mampat menyedari bahawa kebersamaan Tengku Razaleigh dengan aspirasi dan cita-cita rakyat disambut dengan reaksi yang pelbagai terutama di kalangan pemimpin Umno.

“Mampat berpandangan bahawa kenyataan yang benar-benar mewakili pandangan dan prinsip Tengku Razaleigh adalah hak rakyat dan Negeri Kelantan dan Terengganu adalah royalti bukan wang ehsan.

Ini, katanya kerana pandangan itu disertakan dengan fakta dari sudut sejarah dan perundangan yang merangkumi tujuan dan semangat penubuhan Petronas, penggubalan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian antara Petronas dengan negeri-negeri sebagaimana yang dihasratkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak.

“Malah pandangan ini dinyatakan dengan penuh bertanggungjawab oleh Tengku Razaleigh melalui afidavit yang dikemukakan kepada mahkamah beserta dengan afidavit Tun Salleh Abas dan Tun Abdul Rahman Yaakob.

“Kalaupun Tengku Razaleigh pernah menafikan hak royalti daripada rakyat Terengganu, maka Mampat sekali lagi ingin merakamkan tahniah atas kesudian beliau mengeluarkan kenyataan yang sebenar kepada kita pada hari ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya Mampat amat berharap langkah itu dapat dituruti oleh beberapa kerat di kalangan pemimpin Umno yang sekarang ini bermati-matian menafikan hak royalti Negeri Kelantan.

Baginya, mereka itulah yang tidak berprinsip kerana pada mulanya menyatakan Kelantan langsung tidak layak mendapat apa-apa daripada hasil Petroleum atas alasan kawasan eksploitasi petroleum berada di luar State Territorial dan pertindihan dengan Thailand tetapi setelah Perdana Menteri mengumumkan pemberian wang ehsan, mereka menyambut baik pula.

Tiada ulasan: